'Bah' Gelombang Ketiga Landa Hulu Terengganu, Dua PPS Dibuka
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober – Rakyat Malaysia diseru supaya tidak berada dalam kekhuatiran, sebaliknya terus mendoakan keharmonian negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, terdapat segelintir pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan sengaja menimbulkan ketakutan dan salah faham kepada rakyat.
Menurut Zuraida, mereka sengaja menimbulkan pelbagai spekulasi dengan tujuan untuk memburukkan kerajaan dan pada masa yang sama menghakis kepercayaan rakyat.
“Macam-macam salah faham mengenai ‘darurat’ yang mereka timbulkan, rakyat cuba dimomok-momokkan dengan maklumat yang tidak tepat.
“Walaupun begitu, kita bersyukur apabila ada pakar-pakar perundangan yang tampil memberi penjelasan secara sukarela kepada rakyat.
“Jadi, menjadi kewajiban kepada kita untuk baca, hadam dan fahami tentang apa sebenarnya situasi sebenar yang berlaku pada hari ini,” ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Zuraida yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia menasihatkan rakyat supaya tidak ‘menelan bulat-bulat’ naratif yang dibawa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kebelakangan ini, suhu politik negara seperti tidak reda panasnya bahkan bertambah panas apabila ada ura-ura mengatakan ‘darurat politik’ bakal dilaksanakan disebabkan ‘drama kemelut politik’ yang semakin buruk.
“Apa-apa pun jua keputusan Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu nanti, pastinya itu yang terbaik.
“Sebagai seorang rakyat yang cintakan keamanan dan kestabilan negara, kita kekal tenang dan berdoa agar Allah pelihara negara kita dari sebarang kekacauan,” katanya.