• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Kelestarian Setiu Wetlands Akan Terus Dipelihara


SETIU, 2 Februari - Kerajaan negeri akan memastikan Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands) akan diuruskan dengan baik bagi menjaga kelestarian ekosistem untuk generasi akan datang.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar berkata, ia termasuk kerjasama masyarakat setempat untuk memberikan pandangan dan suara dalam usaha kerajaan negeri ini.

“Kita akan pastikan ia diurus dengan baik dan dalam masa yang sama kita akan pastikan penduduk setempat memainkan peranan masing-masing supaya kawasan ini terus dijaga.

“Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus bekerjasama bagi memastikan alam sekitar terutama Setiu Wetlands dan juga Tasik Kenyir akan terurus dengan baik sebagai ekosistem yang mampan dan lestari untuk semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Sayangi Setiu Wetlands Sempena Sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia 2020 di Broadwalk Setiu, Setiu Wetlands di sini hari ini.


Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Husin; Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sapian A Bakar, Pengarah Perhutanan Negeri, Muhammad Abdullah dan Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Dato' Wan Mohd Hasman Abdullah.

Hadir sama, Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri, Tengku Arifin Tengku A Rahman dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Mohd Iskandar Mohd Aziz.


Untuk rekod, Tanah Bencah Setiu berkeluasan 23,000 hektar adalah satu-satunya tanah bencah di Malaysia yang mempunyai sembilan ekosistem berbeza di dalam satu kawasan iaitu laut, pesisir pantai, kawasan berlumpur, lagun, muara sungai, sungai, pulau, rimba pesisir air dan rimba paya bakau.

Kawasan persekitarannya adalah habitat semula jadi pembiakan tuntung di samping menjadi antara lokasi pendaratan spesis penyu hijau.


Tag: