Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Kem Anak Soleh di 15 Buah Masjid Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 28 Disember - Kem Anak Soleh (KASEH) 11.0 akan diadakan di 15 buah masjid di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam mulai tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata semua kanak-kanak yang berada di sekitar masjid berkenaan diminta berkunjung ke masjid untuk menyertai kem tersebut.
Serentak itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli jawatankuasa masjid dan penduduk kampung terlibat yang bekerjasama menjayakan program tersebut tahun ini.
"Kita akan adakan KASEH 11.0 dan seterusnya pada setiap tahun jika ada cuti panjang," katanya ketika berucap merasmikan KASEH 10.0 di Masjid Pulau Rusa Kampung Pulau Rusa Hilir di sini semalam.
Seramai 172 kanak-kanak berumur 8 hingga 12 tahun menyertai kem tersebut bermula jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang dan seramai 20 orang fasilitator terbabit dengan kem tersebut.
Wan Sukairi berkata kem itu merupakan program tradisi anjuran Pusat Khidmat ADUN Wakaf Mempelam sejak 10 tahun lalu dan sambutannya amat memberangsangkan.
"Hari ini KASEH 10.0 diadakan di Masjid Pulau Rusa Kampung Pulau Rusa Hilir, sementara Kem Bestari Solat (K-BEST) di Surau Al Iman di Kampung Losong Panglima Perang di sini dan sambutannya amat memberangsangkan," ujarnya.
K-BEST melibatkan seramai 154 peserta berumur antara 7 hingga 12 tahun dan dikendalikan oleh 12 orang fasilitator bermula jam 7.15 pagi hingga 5 petang.
Katanya, tujuan program itu diadakan untuk membentuk sahsiah anak-anak supaya menjadi insan yang baik, taat kepada Allah dan kedua ibu bapa mereka.
Ia juga katanya bagi melaksanakan hadith Nabi s.a.w. yang menggalakkan ibu bapa membentuk peribadi anak-anak menjadi insan yang baik dan sentiasa berdoa kepada ibu bapa selepas keduanya meninggal dunia.