SETIU, 22 Julai – Suasana di Kolam FELDA Selasih meriah dengan penganjuran Pertandingan Memancing sempena Program YB Cakna Komuniti yang membawa wadah merapatkan silaturahim antara pemimpin tempatan dan masyarakat setempat.
Program santai berkenaan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, yang turun padang bagi meluangkan masa serta memeriahkan aktiviti bersama penduduk kampung.
Menurut Dr. Azman, pertandingan yang dijalankan secara bersahaja itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira umur.
"Orang tua, orang muda, hingga ke anak-anak kecil semua ada sertai bersama. Dalam pada itu, ikan keli mendominasi hasil tangkapan para peserta pada hari ini dengan saiz yang amat memuaskan," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, semalam.

Menerusi pendekatan mesra rakyat ini, ia bukan sahaja menjadi medan hiburan sihat, malah membolehkan pemimpin mendengar aspirasi serta suara penduduk secara terus.
Rata-rata peserta yang ditemui meluahkan rasa teruja dan berharap program kemasyarakatan seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi mengukuhkan semangat perpaduan warga FELDA Selasih dan kawasan sekitar Jabi.