Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
Kemudahan Peralatan Pengajaran Dan Pembelajaran Di PASTI Perlu Lengkap
Oleh: Asraf Ikhwan
DUNGUN, 31 Jan- Kemudahan peralatan pengajaran dan pembelajaran di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) perlu lengkap demi menjaga prestasi guru dan murid.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Wan Hapandi Wan Nik berkata, kekurangan kemudahan di PASTI perlu diberi perhatian supaya sesi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan lancar.
"PASTI bukan berada dibawah pusat mengakibatkan susah untuk mendapat sebarang dana atau bantuan kerajaan.
“Memang menjadi hasrat kami untuk sentiasa memenuhi keperluan pengajaran agar guru-guru PASTI dapat menjalankan tugas dengan lebih efisien,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura itu berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Komputer Riba dan Mesin Pencetak kepada tujuh PASTI di DUN Sura.
Tambah beliau, PASTI memiliki potensi untuk lebih maju dalam sistem pembelajaran dan pengajaran, namun kekurangan kemudahan menjadi kekangan kepada guru untuk menyediakan bahan-bahan mengajar yang terkini.
“Saya yakin jika kemudahan yang lengkap dan prasarana yang lebih baik, mereka (guru) PASTI dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan,” ujarnya.
Justeru, Wan Hapandi memuji pengorbanan guru PASTI yang terus komited mendidik pelajar.
“Terima kasih kepada semua penyumbang tetap dan tidak dilupakan pengorbanan guru terutama yang telah lama berkhidmat harus dipuji kerana mereka bersedia berhadapan dengan cabaran untuk melihat anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan kepada sesiapa yang ingin menyumbang dan boleh berbuat demikian dengan menghubungi PASTI yang berdekatan.