Kenali Tenggol, Mutiara Tersembunyi Di Terengganu
DUNGUN, 4 Oktober – Walaupun tidak menonjol seperti Pulau Redang atau Pulau Perhentian, Pulau Tenggol tetap mempunyai keistimewaan tersendiri seperti keindahan memukau permukaan pasir putih dan lautan hijau hingga mampu membuatkan penggemar snorkeling serta skuba terpesona.
Pengerusi Persatuan 1 Malaysia Divers, Noor Fadzli Shah berkata, antara keunikan utama pulau peranginan tersebut adalah hidupan laut yang amat menakjubkan untuk dirasai melalui aktiviti rekreasi dalam air.
“Pada hari ini sahaja, sekumpulan ikan lumba dapat dilihat berenang semasa menghala ke Pulau Tenggol, fenomena yang jarang berlaku di tempat lain hanya dapat berlaku di sini,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengusaha Tenggol Coral Beach Resort (TCBR), Siew Kam Heong menceritakan, kepelbagaian hidupan marin amat meriah berbanding pulau lain.
“Antaranya seperti species Whale Shark, Manta Ray, Leopard Shark dan lain-lain lagi dapat ditemui disini dengan lebih 25 lokasi menyelam dan snorkeling terbaik.
“Hidupan terumbu karang turut mewarnai dasar laut, lebih mekar berbanding di perairan lain di Pantai Timur kerana jarang diusik tangan manusia dan bot berbanding pulau peranginan tumpuan ramai,” jelasnya.
Menurut pengusaha juga, selain bot kayak, aktiviti rekreasi daratan juga didapati di pulau tersebut dengan aktiviti trek hutan atau ‘Jungle Trekking’ ke puncak bukit di tengah-tengah pulau berketinggian 800 kaki sesuai bagi melihat matahari terbenam setiap waktu petang.
Bagi penggemar aktiviti selam skuba, keistimewaan di Pulau Tenggol adalah perkhidmatan bertaraf lima bintang bagi mereka yang baharu dan veteran dalam rekreasi tersebut.
Tambah seorang lagi pengusaha Joe Tan Kean Koo, kelebihan TCBR adalah bagi pelajar yang ingin mengambil lesen skuba, proses akan mengambil masa selama empat hari dengan kursus ditemani pakar professional di setiap langkah.
“Para penyelam tidak perlu risau untuk mengangkat peralatan dan tangka berat ke bot dan sebagainya, kita akan memberi layanan kemudahan bagi memudahkan aktiviti lautan ini, kita tidak mengambil jalan pintas untuk mendapat kelulusan ini,” tambahnya.
Jelas Noor Fadzli lagi, pengusaha resort tersebut amat menjaga perkhidmatan di pusat selaman disamping mengambil inisiatif sendiri dalam memelihara kelestarian taman lautan di Tenggol.