Kerajaan BN Bela Nasib Rakyat - Halina


Berita dan gambar oleh: Ezzuan Ahmad

Jelalah Cakna Ibu Tunggal Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil - Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi ) akan tetap diteruskan meskipun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi mencapai sasaran bertemu mesra dan membantu ibu tunggal di seluruh daerah.

Yang Dipertuanya, To' Puan Seri Halina Zakaria berkata, bantuan bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh ibu tunggal dalam menguruskan kehidupan seharian mereka setelah ketiadaan suami di sisi.

Katanya, kira-kira 32,000 ibu tunggal  yang berdaftar di negeri ini akan diberi bantuan dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM6.4 juta .

 "Kerajaan negeri di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan Syarikat Air Terengganu (Satu) merupakan penyumbang utama kami dalam menjayakan program murni ini.

"Ibu tunggal akan diberi bantuan wang tunai sebanyak RM200 dan bantuan barangan dapur sebanyak RM100 bagi setiap seorang " katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program tersebut di Dewan Balora, Bandar Al Muktafi Bilah Shah, Dungun, pagi tadi.

Pada program tersebut, seramai 800 orang ibu tunggal di sekitar Dewan Undangan Negeri Bukit Besi menerima bantuan wang tunai dan barangan keperluan pada majlis tersebut.

Tambah beliau, sehingga April, program itu sudah menjelajah ke lima lokasi iaitu Telemong, Bukit Payung, Wakaf Mempelam, Pengkalan Berangan, Kuala Nerus dan Jabi.

"Bukit Besi merupakan kawasan yang ke enam dalam siri jelajah kami dan InsyaAllah selepas pilihan raya kami akan terus menjelajah sehingga hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus membela nasib rakyat yang memerlukan bantuan untuk memastikan tiada yang terpinggir.

"Rakyat perlu bijak untuk memilih parti yang betul-betul akan membela nasib rakyat dan bukan parti yang hanya pandai menabur janji sahaja hanya untuk kepentingan politik peribadi," katanya.

Sementara itu , ibu tunggal yang ditemui menyatakan rasa penghargaan mereka di atas bantuan yang diberikan dalam meringankan beban yang ditanggung setelah ketiadaan suami.


Bagi Aishah Minah Embong, 70, bantuan yang diberi sedikit sebanyak meringankan bebannya yang terpaksa menjadi ketua keluarga setelah pemergian suami tercinta lima tahun lalu.

"Suka sangatlah boleh bantuan begini. Memang perit membesarkan anak - anak dengan sumber kewangan yang terhad tapi alhamdulillah kerajaan banyak membantu golongan seperti kami," katanya.

Seorang lagi penerima, Maziah Ismail, 49, menyarankan supaya dikekalkan kerajaan yang sedia ada pada masa sekarang kerana telah terbukti dalam membela nasib golongan yang memerlukan.

"Banyak bantuan yang telah diberikan kepada rakyat yang memerlukan dan ini cukup membuktikan BN adalah parti yang terbaik untuk menrajui negara demi kebaikan semua," katanya.



Tag: