MARANG, 2 Jun - Kerajaan Terengganu amat prihatin dengan keperluan rakyat khususnya bagi menyambut hari raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Serentak itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah mengambil inisiatif sendiri membantu seramai 500 orang penduduk dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung bagi menerima sumbangan barangan keperluan harian.
Mereka telah diraikan di Majlis Sinar Ramadhan dan Pengagihan barangan keperluan kepada golongan fakir miskin, anak yatim dan warga emas di Dewan Madrasah Darul Iman (MDI) Titian Baru di sini baru-baru ini.
Ustaz Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata, dana raya tahun inj dikurangkan jumlahnya kerana kerajaan negeri kekurangan hasil pendapatan sehingga terpaksa jumlah penerima dikurangkan.
"Bagi golongan yang tidak layak menerima bantuan dana raya tetapi menghadapi kehidupan yang kurang baik, kami mengambil jalan supaya golongan ini tidak terlepas dari pandangan kami dengan pengagihan barangan keperluan seperti ini," ujarnya.
Ketika berucap di majlis itu beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah berhasrat untuk mengabaikan tanggungjawab membantu mereka yang hidup susah.
Katanya, semua rakyat yang bermasalah akan dibantu dengan peruntukan yang sedia ada.
"Cuma tahun ini kita agak kekurangan dana, jika banyak tidak ada masalah untuk kita membantu mereka yang benar-benar memerlukan," jelasnya.
Katanya, kerajaan negeri mempunyai alternatif lain untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat termasuk bantuan diberikan melalui anak-anak syarikat kerajaan.
Tambahnya, anak-anak syarikat kerajaan telah membantu rakyat untuk menyediakan keperluan berhari raya melalui bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
"Mereka telah menyediakan sejumlah besar peruntukan untuk tujuan tersebut.
"Saya sendiri dengan ini suka mengambil inisiatif bagi meraikan keperluan penduduk DUN Bukit Payung, menyambut Ramadan dan hari raya Aidilfitri nanti dengan memberi sumbangan barangan keperluan harian, sebagai tanggungjawab sosial saya," tambahnya.