Kerajaan Terengganu Salur Insentif Khas Kepada Pengayuh Beca, Pengusaha Bot
KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Seramai 50 pengayuh beca dan 18 pengusaha bot penambang di Terengganu merupakan antara pemain industri pelancongan yang bakal menerima bantuan 'one-off' berjumlah RM132 ribu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, sektor tersebut menjadi antara industri yang paling terkesan selepas aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sehubungan dengan itu katanya, kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan insentif pandemik COVID-19.
"Bagi meringankan beban golongan yang terlibat secara langsung dalam sektor ini, pihak kerajaan bersetuju membantu 50 pengayuh beca dan 18 pengusaha bot penambang yang mana masing-masing akan menerima bantuan sebanyak RM400.
"Manakala, bagi pengusaha pemandu teksi lapangan terbang yang juga berada di bawah porfolio saya iaitu seramai 44 orang, pemandu pelancongan (99 orang) yang aktif dan beroperasi, pemandu 'house bot' Tasik Kenyir (244 orang) dan malim gunung (33 orang) yang berdaftar akan menerima RM250," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) Terengganu sebagai Hab Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, pengumuman itu merupakan sebahagian daripada bantuan yang akan disalurkan kerajaan negeri untuk membantu rakyat Terengganu.
"Saya hanya mengumumkan bantuan pandemik bagi sektor pelancongan dan teknologi digital sahaja hari ini. Manakala, sedikit masa lagi insya-Allah, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri akan memaklumkan perkara-perkara lain yang berkaitan.
"Bagi bantuan ini, kita akan agihkan secepat mungkin kepada penerima terlibat," katanya.