lightning-solid
Berita :
Kerjasama YT, PPD-Ibu Bapa Jamin Penempatan Pelajar AYTK
Kerjasama YT, PPD-Ibu Bapa Jamin Penempatan Pelajar AYTK
Noraini Jusoh
8 jam yang lepas
104

KUALA TERENGGANU, 16 Disember – Yayasan Terengganu (YT) memberi jaminan bahawa semua pelajar Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) tidak akan tercicir daripada sistem persekolahan susulan keputusan menaik taraf penempatan asrama berkenaan bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah sekolah Imtiaz baharu.

Pengarah YT, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, ibu bapa yang mempunyai sebarang isu berkaitan penukaran sekolah atau penukaran tempat asrama boleh terus berurusan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Pejabat YT untuk mendapatkan penyelesaian atau penjelasan lanjut.

"Pihak kami dan PPD akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses penempatan pelajar dapat dilaksanakan dengan lancar dan tersusun.

"Kita beri keutamaan kepada pelajar Tingkatan 4 supaya tidak timbul masalah persekolahan pada tahun hadapan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2025 (kali ke-45) dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM 2024 di Dewan Konvesyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, keputusan tersebut bukan dibuat secara mengejut kerana pihaknya telah mengeluarkan kenyataan media lebih awal bagi memaklumkan hala tuju dan langkah yang diambil YT.

Katanya, tempoh pelaksanaan keputusan itu adalah sehingga Jun 2026 dan tiada arahan supaya pelajar keluar secara serta-merta.

"Sekiranya menjelang Jun masih terdapat isu atau keperluan mendesak, perkara itu boleh dibincangkan semula berdasarkan masalah yang timbul," ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan