• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

'Kita Dah Bantu Yasmin' - Hanafiah Mat


Hanafiah turun melihat sendiri keadaan tempat tinggal Yasmin sekeluarga.
KUALA TERENGGANU, 23 Januari- Kerajaan negeri mengambil langkah segera menyediakan tempat tinggal sementara bagi membantu wanita warganegara Myanmar, Yasmin Fayas Ahmad, 28, yang tular di media sosial kerana tinggal bersama tiga anaknya, di kawasan hutan Bukit Bayas, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat meninjau keadaan keluarga tersebut memaklumkan, langkah itu sebagai penyelesaian jangka pendek yang sesuai buat masa ini.

“Kami dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) akan menempatkan keluarga ini di Rumah Sejahtera di Bukit Payung yang diuruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO).
Hanafiah mendengar penjelasan Yasmin tentang kesukaran yang dialaminya.

 “Kita ambil inisiatif ini secara serta-merta kerana dia dan anak-anaknya memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan wajar diberikan perlindungan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi tersebut, semalam.

Hadir sama dalam tinjauan tersebut ialah Pengarah JKM Terengganu, Zuhami Omar.

Hanafiah menjelaskan, siasatan seterusnya akan dilakukan oleh pihak JKM untuk menentukan di mana mereka akan ditempatkan pada masa akan datang.

“Hasrat kerajaan negeri ialah memastikan golongan ini sentiasa diberikan perhatian. Kita tiada peruntukan khusus untuk perkara ini, tetapi ada peruntukan untuk menyediakan prasarana yang turut diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Terengganu 2020, lalu.
Keadaan kawasan tempat tinggal Yasmin.

“Setakat ini, bajet meluluskan untuk kita membina sebuah rumah orang tua dinamakan Raudhatul Jannah dan dua buah rumah gelandangan di Kemaman.

"Kita akan berusaha secepat mungkin supaya dua buah rumah yang diberikan Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) di Teluk Kalong, Kemaman dapat dibaik pulih serta-merta dan sebuah rumah milik kerajaan negeri untuk dibaiki segera,” katanya.

Terdahulu, kisah kehidupan Yasmin bersama anak-anaknya yang berusia 8 tahun, 3 tahun dan setahun, tersebar melalui media sosial.

Yasmin, warga Myanmar mengalami kesukaran hidup setelah suaminya yang juga warga asing ditahan pihak Jabatan Imigresen Malaysia, empat bulan lalu.





Tag: