KMI Tandatangani Perjanjian Perolehi Tawau Specialist Hospital

 KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (“KMI Healthcare”) melalui anak syarikat milik penuhnya, KMI Tawau Medical Centre Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian bagi pemerolehan operasi Tawau Specialist Hospital (TSH).

Perjanjian itu juga meliputi penyewaan bangunan milik TSH SDN Bhd dengan nilai RM8 juta melalui majlis menandatangani perjanjian itu yang telah diadakan di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, kelmarin.

Pengerusi KMI Healtcare, Raja Dato' Haji Idris Raja Kamaruddin berkata bangunan baru yang sedang dalam pembinaan itu akan siap menjelang suku pertama 2024 dan ia turut memperkenalkan beberapa perkhidmatan pakar residen baru.

"Seperti Ortopedik, Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), selain daripada Pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G), Pakar Pediatrik, Pakar Bedah dan juga Pakar Perubatan yang telah sedia ada. Mungkin lebih banyak klinik pakar akan diperkenalkan. Kami menjemput dan mengalualukan lebih banyak doktor pakar untuk meneroka Timur Sabah. 

“Pada masa ini terdapat empat hospital lain di bawah KMI Healthcare iaitu KMI Kuala Terengganu Medical Centre, sebelum ini dikenali sebagai Kuala Terengganu Specialist Hospital, KMI Kuantan Medical Centre, KMI Kelana Jaya Medical Centre dan KMI Taman Desa Medical Centre," ujarnya.

Katanya, dengan kekuatan yang dimiliki dijangka akan menarik lebih ramai orang dan dapat melayani pelanggan sedia ada dengan lebih baik terutamanya di  Borneo Sabah.

"Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat dalam strategi pengembangan ‘brownfield’ nya dan mempelbagaikan lagi operasi perniagaan di negeri lain di Malaysia.

"Kami terbuka untuk bekerjasama dengan pakar industri dan pembekal penjagaan kesihatan yang turut sama berdedikasi dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang selamat dan berkualiti,” ujarnya lagi

Melalui pemerolehan tersebut katanya, TSH akan ditukar nama kepada KMI Tawau Medical Centre (“KMI Tawau”).

"Penjenamaan semula ini merupakan sebahagian dari program transformasi menyeluruh yang akan dilakukan oleh KMI Healthcare untuk KMI Tawau, yang akan diikuti dengan pengembangan kapasiti kepada 76 katil melalui pembangunan enam tingkat bangunan bagi memenuhi permintaan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan di kawasan ini dan sekitarnya.

"Perjanjian yang ditandatangani ini terdiri daripada Perjanjian Pemindahan Perniagaan dan Perjanjian Sub-Sewa di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk pemindahan sepenuhnya operasi TSH dan asetnya kepada KMI Healthcare.

"Melalui Perjanjian Sub-Sewa tersebut, KMI Healthcare akan menyewa tanah dan bangunan hospital dari TSHSB untuk jangka masa 30 tahun,15 tahun dan boleh diperbaharui selama 15 tahun lagi," ujarnya.


Tag: