Jalur Gemilang
Berita :
Kompleks Pendidikan Pasti Baharu Perkasa Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Kompleks Pendidikan Pasti Baharu Perkasa Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Wan Mohammad Omar Ajmain
8 jam yang lepas
106

HULU TERENGGANU, 10 September– Kompleks Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Hijau Kuala Berang kini beroperasi secara rasmi selepas siap sepenuhnya dengan anggaran kos pembinaan hampir mencecah RM2 juta bagi menampung keperluan pendidikan awal kanak-kanak di kawasan berkenaan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh berkata cetusan idea bagi merealisasikan pembinaan kompleks berkenaan bermula seawal tahun 2018 menerusi permohonan rasmi tapak tanah milik kerajaan yang dulunya merupakan kawasan tali air yang tidak digunakan.

"kita mula  membinanya pada tahun 2020 dalam keadaan pandemik COVID-19, kita buat sikit-sikit dan berjaya siap sepenuhnya pada tahun 2024.

"Kita menerima kemasukan pelajar pada 16 Februari 2024 dengan kapasiti kompleks yang mampu menampung sekitar 180 hingga 200 orang pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks PASTI Hijau Kuala Berang yang berlangsung di premis berkenaan di sini, hari ini.

Majlis Perasmian disempurnakan oleh Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Tambahnya, kemudahan infrastruktur, kompleks berkenaan dilengkapi dengan 10 buah bilik darjah, kantin, rumah jaga, ruang solat, serta satu unit khas yang mempunyai tiga bilik berserta bilik air dan dapur untuk kegunaan guru-guru.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pembinaan projek tersebut.

"Kejayaan menyiapkan infrastruktur ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk bantuan agensi-agensi kerajaan, sumbangan penderma awam, serta usaha keras lebih 100 orang tenaga pembina tempatan," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan pendidikan PASTI, Dr. Mamad memaklumkan bahawa kawasan Kuala Berang kini mempunyai sembilan buah premis PASTI yang menampung kira-kira 510 orang pelajar serta hampir 50 orang tenaga pengajar.


Melihat kepada keperluan yang semakin meningkat, pihak pengurusan kini merancang untuk membina bangunan baharu di beberapa lokasi lain bagi memperluaskan lagi rangkaian pendidikan ini.


Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan