KUALA NERUS, 16 April- Jaringan pertama Makan Konate bagi musim ini, menghadiahkan Terengganu Football Club (Terengganu FC) tiga mata dalam pertemuan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City), sebentar tadi.

Melayan kunjungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), sasaran Terengganu FC untuk melakarkan kemenangan di hadapan hampir 3,000 penyokong yang hadir buat kali pertama ke stadium bagi musim ini, tercapai apabila menang 1-0 ke atas Skuad Kota itu.

Anak-anak buah Nafuzi Zain memulakan permainan dengan serangan ke kubu lawan.

Dua rembatan deras Hakimi Abdullah pada minit ke 5 dan 8 bagaimanapun berjaya dihadang benteng KL City. 

Pelawat kemudian lebih banyak menguasai bola dan melancarkan serangan ke kubu tuan rumah.

Pada minit ke 27, rembatan deras penyerang lawan, Romel Morales hanya singgah di tiang gol Sang Penyu.

KL City sekali lagi berpeluang menjaringkan gol awal, namun tandukan Giancarlo Gallifuoco dinafikan palang gol.

Kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar penguasaan bola, namun keputusan kekal tanoa gol di babak pertama.

Memasuki babak kedua, Terengganu FC meningkatkan asakan ke kubu lawan, bagaimanapun kedua-dua pasukan buntu mencetak gol.

Detik kemenangan Sang Penyu muncul pada minit ke-88, apabila Konate melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk gol tunggal perlawanan.

KL City cuba bangkit menyamakan kedudukan namun keputusan 1-0 kekal sehingg tamat perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Terengganu FC naik ke tangga kedua Liga Super 2021 dengan 18 mata.

 

 


Tag: