Konvokesyen ILKBS Ke-17 Rai 216 Pelajar
MARANG, 17 Julai- Seramai 216 graduan Institut Latihan Kemahiran Belia Dan Sukan (ILKBS) diraikan dalam Majlis Konvokesyen ILKBS Zon Pantai Timur Ke-17 dalam suasana norma baharu, hari ini.
Majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai itu melibatkan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh, IKTBN Bachok, IKBN Kemasik, IKBN Pekan, IKBN Tanah Merah selain IKBN Wakaf Tapai sendiri.
Graduan yang diraikan merupakan pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat sijil dan diploma masing-masing daripada bidang Teknologi Elektrik, Teknologi Awam, Teknologi Mekanikal, Teknologi Automotif serta Teknologi Tekstil Hospitaliti.
Hadir menyempurnakan penyampaian sijil dan diploma tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia Dan Sukan, Ramona Mohd Razali.
Ramona dalam ucapannya berkata, majlis konvokesyen ini amat bermakna kepada Kementerian Belia Dan Sukan kerana telah berjaya menyempurnakan amanah untuk memberikan peluang pendidikan dan latihan kemahiran (TVET) dalam pelbagai bidang kepada generasi belia.
“Ia juga merupakan hari kemenangan istimewa kepada seluruh graduan yang telah membuktikan kegigihan dan usaha keras sepanjang mengikuti pengajian di ILKBS telah membuahkan hasil,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama katanya, kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih TVET menjelang tahun 2025 yang disediakan oleh 1,295 buah institusi dan penyedia TVET di Malaysia.
“Ini merangkumi 640 institusi TVET awam di bawah seliaan sebelas kementerian, 22 institusi TVET kerajaan negeri dan 633 penyedia TVET swasta,” jelasnya.
Tambah Ramona, keprihatinan kerajaan terhadap TVET diserlahkan dengan pembiayaan yang tinggi, di mana 80 peratus penyedia TVET awam menawarkan program TVET secara percuma.
“Dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan, tidak mustahil TVET bakal menjadi pilihan utama pendidikan belia Malaysia,” jelasnya.
Menurut beliau, TVET kini mejadi satu agenda penting negara untuk melengkapkan para belia ke dalam pasaran kerja termasuklah untuk mencipta pekerjaan sendiri.
ILKBS yang merangkumi IKTBN, IKBN dan Akademi Kemahiran Belia Golf (AKBG) adalah pusat latihan kemahiran di bawah Kementerian Belia Dan Sukan yang diwujudkan bagi pembangunan modal insan negara khususnya dalam memenuhi keperluan dan kehendak tenaga kerja mahir industri di Malaysia.