Krismas : 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga

KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Seramai 118 Pegawai Penguat Kuasa dan 58 Pegawai Pemantau Harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu ditugaskan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 berkuatkuasa 23 hingga 27 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, sebanyak sembilan jenis barangan telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Krismas di Terengganu tahun ini.

“Senarai barangan yang terlibat adalah daging kambing biri-biri bertulang import, kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), tomato, lada benggala hijau, ubi kentang import (China) cili merah, bawang merah besar import, bawang kuning besar dan lobak merah.

“SHMMP Krismas 2024 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 di Mecarto, Mayang Mall, semalam.

Turut hadir, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Mengulas lanjut katanya, Kementerian akan terus menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim terbabit.

“Semua pihak diharap dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan mengunakan label merah jambu bagi barangan tersebut. 

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini,” ujarnya.