KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Rakyat di Kuala Terengganu bakal merasai serta menyaksikan peristiwa 'ekuinoks' iaitu waktu tengah hari tanpa bayang pada 3 April ini.
Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kelmarin, fenomena berkenaan turut berlaku lebih awal di Kota Tinggi, Johor pada 25 Mac sementara Putrajaya pada 28 Mac dan disusuli Kuala Terengganu.
Perkara itu disebabkan pada 21 Mac 2022, matahari akan berada betul-betul di garisan Khatulistiwa pada sepanjang hari tersebut.
"Seluruh dunia akan mengalami masa siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam siang, dan 12 jam malam. Bagi kawasan yang betul-betul berada di atas garisan Khatulistiwa seperti di Pontianak, Indonesia dan Quito, akan berlaku peristiwa siang hari tanpa bayang tersebut dan Malaysia akan mengalami sedikit lewat," ujar kenyataan tersebut, semalam.
Dalam pada itu fenomena itu juga akan turut akan berlaku sekali lagi pada 22 September ini yang dikenali sebagai ekuinoks musim luruh.
Untuk rekod, ekuinoks merupakan satu fenomena astronomi apabila kedudukan matahari sejajar dengan Garisan Khatulistiwa, ia menjadikan bumi dan matahari berada pada jarak paling dekat dalam sistem solar.
Pertukaran posisi matahari dari Hemisfera Utara ke Hemisfera Selatan menyebabkan suhu bumi meningkat selain jangka masa siang dan malam menjadi sama iaitu 12 jam.
Di Malaysia apabila berlaku, kebiasaan suhu dijangka antara 30 hingga 35 darjah Celsius.