Letak Syarat Hanya Gadis Belum Baligh Boleh Menari di Khalayak
Kerajaan negeri menghormati keputusan ahli-ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang sebulat suara bersetuju meminda perlembagaan persatuan dalam Kongres Luar Biasa (EGM) PBSNT 2018 yang berlangsung di Kuala Terengganu, semalam.
Agenda utama yang dipersetujui ialah pindaan Artikel 33 Perkara 1 dan 2 serta Artikel 39 PBSNT yang menyaksikan jawatan presiden secara automatik akan disandang oleh Menteri Besar Terengganu.
Pindaan itu menyaksikan PBSNT kini diterajui Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan peletakan jawatan Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman secara rasmi susulan tampuk pentadbiran negeri kini diterajui Kerajaan PAS selepas merampasnya daripada Kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.
Sementara itu Ahmad Samsuri berkata, berhubung jawatan Timbalan Presiden yang dahulunya dipegang mantan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail yang telah dikosongkan, pihaknya sedang meneliti beberapa perkara sebelum mengisi kekosongan tersebut.
“Saya sedang meneliti beberapa perkara, sebab yang paling penting sekarang ini adalah objektif yang kita hendak capai.
“Paling penting, kita mahu cari jalan terbaik membentuk organisasi dari segi struktur dan kepimpinan bagi mengembalikan balik kegemilangan sukan bola sepak Terengganu.
“Saya akan berbincang dengan beberapa pihak termasuk bekas-bekas pemain, jurulatih dan pihak berkaitan yang ada kepentingan dalam sukan bola sepak di negeri ini dan selepas itu saya akan membuat keputusan apa yang terbaik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kepimpinan baru PBSNT di Majlis Perasmian Penutup Korobori Pengakap kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail Kuala Nerus, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wan Mohd Wan Ibrahim serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata, pihaknya menyambut baik keputusan PBSNT yang mahu Presiden PBSNT ditentukan kepada individu yang menjawatan sebagai Menteri Besar.
“Kita menghormati apa yang telah diputuskan di peringkat persatuan dan seperti yang telah diputuskan secara automatik Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan menjadi Presiden PBSNT menggantikan mantan Menteri Besar yang lalu.
“InsyaAllah, di peringkat Timbalan Presiden ianya akan dilantik dengan persetujuan presiden,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, kerajaan negeri juga akan mengurangkan kebergantungan PBSNT kepada orang politik secara berperingkat-peringkat bagi memastikan pengurusan persatuan itu bergerak lancar.
“Kerajaan negeri akan mengikuti apa yang diputuskan dalam EGM sehingga sampai ke satu peringkat PBSNT dapat mengurangkan kebergantungan kepada orang politik secara beransur-ansur.
“Namun begitu ia mungkin akan memakan masa satu hingga dua tahun kerana kita hanya akan melepaskan PBSNT apabila persatuan ini berada pada tahap yang kita yakin dapat berdikari termasuk dari sudut kewangan dan kepimpinan,” ujarnya.
Selain itu juga, menurut beliau lagi, strategi untuk mengurangkan kebergantungan persatuan kepada penglibatan orang politik adalah bagi membantu pemain menonjolkan permainan yang lebih bermutu.
“Kerajaan negeri akan kurangkan penglibatan orang politik dalam persatuan ini kerana setelah sekian lama orang politik menjadi Presiden dan Timbalan Presiden PBSNT, prestasi pasukan bola kita tidak konsisten, kadang naik dan kadang turun.
“Kita mahu lihat persatuan boleh berdikari dan juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada kewangan kerajaan negeri,’ ujarnya.
Katanya, beliau juga mengharapkan pengurusan baru PBSNT bukan sahaja dapat berjalan dengan baik tetapi dapat meningkatkan lagi prestasi bola sepak Terengganu ke peringkat tertinggi seperti yang dipamerkan oleh sukan berbasikal apabila menunjukkan prestasi begitu cemerlang.