PUTRAJAYA, 6 Oktober - Rakyat Malaysia yang berhasrat pulang ke kampung atau melakukan ziarah bertemu keluarga apabila rentas negeri dibenarkan disaran untuk melakukan kit ujian sendiri.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, endemik nanti akan menjadi cabaran buat kerajaan kerana sekatan jalan raya dan langkah memastikan setiap individu divaksinasi tidak lagi dijalankan.
"Kini tanggungjawab dan tingkah laku bergantung kepada individu itu sendiri. Saya percaya kita dapat menghadapi cabaran ini dalam #ReopeningSafely.
"Sekiranya ingin pulang ke kampung dan bertemu dengan golongan berusia, lakukan kit ujian kendiri Covid-19 (RTK) air liur, ini kerana keselamatan mereka perlu dijaga," ujarnya melalui ciapan di Twitternya hari ini.
Khairy berkata, hanya tinggal 1.6 peratus sahaja lagi mereka yang masih belum divaksin untuk mencapai 90 peratus kadar vaksinasi.
"Kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah beralih ke ujian simptomatik. Kami meminta orang yang berada dalam persekitaran dan bertemu dengan orang ramai atau mobiliti tinggi untuk melakukan ujian secara berkala," katanya.
Terdahulu laman web COVIDNOW merekodkan sebanyak 20,698,852 atau 88.4 peratus populasi dewasa di Malaysia sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin manakala 94.5 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memutuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik kelonggaran rentas negeri akan dibenarkan apabila telah mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.