• 12 Okt 2024 | 09 Rabiul Akhir 1446

Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud Kembali?

KUALA TERENGGANU, 7 Oktober- Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM), satu acara ikonik yang melatari bandar Kuala Terengganu dikhabarkan akan kembali diadakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris ketika ditanya tentangnya memaklumkan, beliau mengambil cakna tentang acara berkenaan.

"LAJSM? Dalam perhatian saya dan kita jangka kebarangkalian akan dianjurkan dalam musim monsun, tetapi saya sedang berbincang dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang hendak menganjurkannya, kerana kerajaan negeri tidak terlibat dengan penganjuran secara khusus tetapi kita hanya pembimbing sisi sahaja.

"Kita hendak orang yang ada roh untuk menjayakan satu-satu acara, kita boleh setuju tetapi jika kita tidak terperinci sebaliknya orang (penganjur) hanya untuk dapatkan bajet, kita tidak berminat.

"Ramai yang minta untuk dipullihkan dan saya memang hendak pulihkan, saya hendak cuba jika sempat tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kejohanan Antarabangsa Paramotor Terengganu di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, semalam.

Tambahnya, terdapat dua acara larian yang dicadangkan iaitu LAJSM dan Larian Drawbridge.

"Tetapi saya rasa tahun ini kita akan buat satu dahulu, kalau LAJSM itu masih ada sejarah dan pelari-pelari masih mahukan, kita akan usahakan yang itu dahululah," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di laman Facebook LAJSM mendapati hantaran terakhir di laman itu adalah pada tahun 2023, berkenaan operasi pemulangan semula bayaran kepada peserta LAJSM 202 yang dibatalkan akibat pandemik COVID -19.


Tag: