Latihan Atlet SUKMA Terengganu Dipantau Melalui Video
Wan Sukairi. |
Oleh: Wan Luqman Hakim
KUALA TEREGGANU, 26 Mac- Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) memastikan jurulatih memantau latihan semua atlet Sukan Malaysia (SUKMA) yang diteruskan di rumah masing-masing ekoran penularan pandemik Corona Virus Disease 2019 (COVID-19) melanda negara ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, latihan jangka panjang yang disusun akan terjejas jika latihan dihentikan.
"Bagaimanapun, MSNT telah memantau latihan semua atlet mereka melalui video dan semakan kadar nadi latihan setiap hari.
"Setiap atlet diwajibkan menghantar data kadar nadi awal dan kadar nadi maksimum latihan setiap hari kepada jurulatih masing-masing," katanya.
Penjelasan itu dinyatakan beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan MSNT, semalam.
Jelasnya, terdapat juga kekangan dari aspek kombinasi pemain, teknik dan taktik perlawanan yang tidak dapat diadakan.
"Namun, apabila keadaan kembali nomal aspek tersebut akan dilaksanakan secara agresif supaya persiapan menyeluruh latihan pasukan dapat diperkemaskan.
"Kita berharap, tarikh baru SUKMA akan ditetapkan dan dimaklumkan lebih awal bagi memastikan jurulatih dapat menyediakan latihan baru yang lebih sempurna," katanya.
Dalam keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA, baru-baru ini, dijangkakan tarikh baru akan ditetapkan sebelum Mei 2020.
Sebelum ini, MSNT telah mengambil tindakan menutupkan semua premis latihan sukan negeri termasuk premis pejabat bermula dari 18 Mac lagi hingga 14 April 2020 selaras tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan Persekutuan.