Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Pilih Pendekatan Dakwah Berhikmah Didik Atlet Patuh Syariah
Terengganu Pilih Pendekatan Dakwah Berhikmah Didik Atlet Patuh Syariah
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
97

KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan negeri tidak pernah berputus asa sebaliknya terus mendidik melalui dakwah yang berterusan dan secara berhikmah bagi memastikan garis panduan pemakaian mesra syariah dalam kalangan atlet dapat dipatuhi berbanding menjadikan penguatkuasaan keras sebagai langkah utama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pendekatan yang dilakukan melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu bertujuan membentuk atlet yang bukan sahaja cemerlang dalam prestasi sukan sebaliknya mampu menjadi contoh kepda generasi pelapis dalam mematuhi tuntutan syariah.

"Ya, kami akui bahawa kerajaan negeri tidak memilih pendekatan penguatkuasaan secara keras sebagai langkah utama.

"Sebaliknya, pendekatan dakwah secara berhikmah menjadi pilihan dengan matlamat menjadikan para atlet sedia ada sebagai model dakwah praktikal kepada generasi pelapis yang cemerlang dari sudut prestasi sukan dan pada masa yang sama patuh kepada tuntuan syariat,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (BAJET), di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata usaha memperkukuh pematuhan syariah dalam aktiviti sukan turut melibatkan kerjasama rentas portfolio dengan Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri.

"Saya ingin menukilkan pandangan Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam bku karangan beliau berjudul 'Islam Memimpin' di bawah tajuk Pelaksanaan Islam Secara Bertadarruj (asalnya merupakan kertas kerja yang dibentangkan dalam Ijtima' Ulama dan Umara di Aceh pada 2018).

"Beliau mengesyorkan agar pelaksanaan syariat mestilah digerakkan secara bertahap dan 'bertafaqquh' iaitu memberikan kefahaman yang mendalam terhadap tuntutan bergama,"jelas beliau.

Justeru beliau menyatakan kerajaan negeri tetap bertegas bahawa mendedahkan aurat adalah satu kesalahan dan dosa di sisi agama.

"Namun, dalam perbahasan hukum berkaitan sempadan aurat ini, wujud kepelbagaian pandangan dalam kalangan alim ulama yang mengharuskan atau mengharamkannya mengikut aliran pandangan masing-masing dan Dewan Yang Mulia ini bukanlah medan yang sesuai untuk saya huraikan secara panjang lebar.

"Walau bagaimanapun, tanggungjawab yang kita galas adalah menyampaikan kefahaman mengenai hak dan tuntutan beragama.

"Cabarannya, didikan yang kita terapkan di dalam kem latihan di premis kita mungkin berbeza dengan latar belakang serta kefahaman keluarga atlet itu sendiri kerana ada keluarga menitikberatkan soal ini dan ada juga yang tidak meletakkanya sebagai keutamaan malah ada yang melihat isu ini sebagai suatu perkara yang remeh,"ujar beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan