Lebih 20,000 Kunjungi Pesta Buku @PPAT
Lebih 20,000 orang mengunjungi Pesta Buku @PPAT 2018 yang kini berlangsung di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Jalan Hiliran, Kuala Terengganu, sehingga 7 April ini.
Pengarah PPAT, Marzialina Mohamed berkata, jumlah itu melibatkan pengunjung pesta buku yang hari ini memasuki hari kelima sejak bermula Sabtu lalu.
“Syukur alhamdulillah, sambutan setakat ini telah melebihi 20,000 pengunjung dengan jumlah pengunjung pada hari pertama sahaja seramai 11,000 orang.
“Lebih menggembirakan, jumlah pengunjung pada hari ini setakat jam 11 pagi sudah melebihi 5,000 orang.
“Kami jangkakan jumlah pengunjung akan terus meningkat terutamanya pada hari Selasa, Khamis dan Jumaat kerana terdapat saringan bagi pertandingan mewarna sebelum peringkat akhir pada hari Sabtu depan,” ujarnya kepada Teganukita, hari ini.
Katanya, sambutan yang diterima di luar jangkaan dan ianya menunjukkan rakyat Terengganu mempunyai minat yang tinggi terhadap buku dan ilmu.
Katanya, orang ramai diharap tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Pesta Buku @PPAT2018 untuk mendapatkan koleksi buku yang terbaharu pada harga promosi.