Lemang Popular Kini Boleh Didapati Di R&R Kijal

KEMAMAN, 29 Mac - Lemang kijal yang popular dan laris setiap kali menjelang perayaan kini berpeluang untuk dirasai oleh semua pelancong serta pengunjung yang melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) apabila ia dijual di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kijal.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, semalam menjadi sejarah baru apabila lapan pengusaha telah mula menjual lemang di kawasan rehat itu.

Katanya, kedua-dua arah Timur dan Barat  ada dijual lemang popular itu sekali gus ia memudahkan sesiapa sahaja untuk mendapatkan Lemang Kijal.

"Jadi, hari ini (semalam) merupakan hari pertama dan ia menjadi satu sejarah apabila lemang yang begitu terkenal di Kijal, sebut Kijal sahaja maka lemang mesti nombor satu yang menjadi tumpuan.

"Saya dapat lihat pengunjung dah mula mengetahui lemang dah mula dijual di lebuhraya, maka orang ramai tidak perlu lagi pergi ke Kampung Darat Kijal untuk membeli lemang dan ini merupakan satu kejayaan kepada kita (kerajaan negeri) dan juga pengusaha,"jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menyempurnakan perasmian Kiosk Lemang Kijal di R&R, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Razali berkata pihaknya telah berkerjasama dengan Pengerusia Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman dalam usaha membawa lemang yang sinonim dengan Kijal itu dapat dijual di Lebuhraya Pantai Timur.

"Pihak DUN kijal telah menyumbang kiosk dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menyumbang pemanas bagi memastikan orang ramai akan dapat merasai lemang sepertimana di Kampung Darat, kerana ia tidak boleh dibakar di sini tetap kena bakar di kampung.

"Tetapi dimasak dan dibakar di Kampung Darat dan dibawa ke sini menggunakan pemanas yang disumbang oleh YPU.

"Dengan usaha yang kita jalankan ini secara tidak langsung kita telah mengembangkan lagi lemang ini ke peringkat antarabangsa jadi beberapa perkara telah disampaikan kepada pengusaha supaya menjaga kualiti supaya keaslian lemang itu terpelihara serta perlu menggandakan usaha menjaga kebersihan," ujarnya.