LTdL 2020 : Harrif Saleh Menang Lagi!


Harrif membuktikan anak Terengganu mampu menewaskan jaguh lumba basikal Eropah. Foto ihsan - LTdL.
KUALA TERENGGANU, 13 Februari – Kehebatan jaguh pecut negara, Harrif Saleh sudah tidak dapat dibendung apabila sekali lagi mencipta sejarah dengan mengungguli peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 sebentar tadi.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu berkata, meskipun dalam keadaan cuaca lembap dari Bagan ke Alor Setar, strategi dan kerjasama dari rakan-rakan sepasukannya berjaya meletakkan dirinya sebagai juara.

“Rakan sepasukan sangat bekerja keras untuk menempatkan diri saya dalam kelompok hadapan, Carlos Quintero, Nur Amirul Fakhruddin, Metkel Eyob dan Artem Ovechkin sentiasa melindungi saya di sepanjang laluan berangin.

“Dan pada satu kilometer terakhir saya mencari kedudukan pelumba Bardiani CSF Faizane, Matteo Pelucchi, saya melihat dia melakukan pecutan pada 300 meter terakhir, saya terus dapatkan dia dan memintas dia di 100 meter sebelum penamat,” katanya ketika ditemui pemberita.

Tambahnya lagi, peringkat terakhir esok pastinya akan menjadi lebih mencabar kerana setiap pelumba mahu mencari mata untuk merampas dan mengekalkan jersi masing-masing.

“Ditambah pula dengan laluan berbukit ia pastinya menjadi sukar buat saya, apa-apa pun kami (TSG) akan buat yang terbaik,” ujarnya yang menamatkan perlumbaan 130.4 kilometer itu dengan masa dua jam 53 minit 18 saat.
Harrif muncul pelumba Asia Pertama yang memenangi tiga peringkat dalam LTdL.
Pecutan Harrif ternyata gagal dicabar oleh Pelucchi apabila sekadar berada di kedudukan kedua dan Taj jones dari pasukan ARA Pro Racing melengkapkan tiga pelumba terbaik.

Kemenangan Harrif turut menyaksikan TSG terus kekal sebagai pasukan kedua terbaik LTdL dengan hanya ketinggalan beberapa minit di belakang Sapura Cycling Team (TSC).

Manakala, perebutan jersi pula memperlihatkan tiada perubahan apabila dua pelumba TSC Danilo Celano (TSC) dan Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff mengekalkan Jersi Kuning (keseluruhan) dan Merah (raja bukit).

Di samping, Maximilian Walscheid dari pasukan NTT Pro dengan Jersi Hijau (Raja Pecut) dan Yevgeniy Fedorov dari Vino - Astana Motors Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia.

Saingan peringkat kelapan yang juga terakhir akan bersambung esok iaitu bermula di Dataran Lang dan berakhir di Kuah, Langkawi dengan jarak perlumbaan sejauh 108.5 kilometer.









Tag: