Madrasah Tahfiz Persis Taj Mahal Bakal Dibina

MARANG, 25 Ogos - Sebuah madrasah tahfiz atau dikenali sebagai Madrasah Tahfiz Al-Ayyubi yang seni binanya bercirikan negara sruktur binaan negara Timur Tengah dan Taj Mahal bakal dibina di daerah ini. 

Pengarah Madrasah, Ustaz Abu Bakar Salleh berkata, institusi itu dibangunkan melalui konsep wakaf sememangnya dan mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk sekitar. 

"Kita menjangkakan madrasah ini bukan sekadar bakal dipenuhi anak-anak pelajar tetapi juga para pengunjung akan turut membanjiri persekitarannya bagi menyaksikan keindahannya dan bergambar kenang-kenangan. 

"Signifikan pembinaan ini juga dengan visi 'Kampung Kita, hafal al-Quran' dan misinya ialah 'satu rumah satu hafiz' bagi melahirkan generasi celik al-Quran, menghafal dan beramal dengan ilmu penyuluh hidup dunia dan akhirat. 

"Insya-Allah kita akan membina sebuah tahfiz empat tingkat berkonsepkan Taj Mahal. Bukan saja kami nak jadikan sekolah tahfiz ini sebagai tarikan. Untuk pelajar-pelajar datang ke sini mengaji menghafal tetapi juga sebagai tarikan pengunjung," jelasnya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Madrasah Tahfiz Al-Ayyubi, Masjid Mujahidin, Kampung Bukit Gasing, pada 20 Ogos yang lalu.

Orang ramai yang berminat untuk terlibat sama menyumbang kepada pembinaan madrasah ini boleh menyalurkan ke akaun Bank Rakyat Madrasah Tahfiz Al-Ayyubi (111431007464).

 


Tag: