Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu hari ini, menyampaikan sumbangan sebanyak RM2 juta kepada Kerajaan Terengganu bagi menyokong usaha membantu mangsa-mangsa banjir negeri itu.
Yang di-Pertua MAIDAM, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, sumbangan tersebut bertujuan meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah banjir agar dapat memulihkan kehidupan seperti biasa.
"Sumbangan melalui sinf al-Ghamirin ini merupakan bantuan bagi orang-orang berhutang, yang mana mangsa-mangsa banjir kehilangan harta dan dibolehkan layak mendapatkan bantuan ini.
"Bantuan ini kita serahkan kepada kerajaan negeri supaya dapat diselaraskan dan menampung keperluan mereka secara lebih bersasar.
"Selain itu, suntikan kewangan membolehkan mereka membeli atau membaiki peralatan rumah dan kenderaan yang rosak," katanya.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja di Wisma Darul Iman, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Rozali Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Dr. Ahmad Azrin Adnan.
Dr. Ahmad Azrin menambah, bantuan hari ini merupakan bantuan awal diberikan oleh agensi itu.
"Sekiranya ada keperluan dalam hal lain seperti penggantian rumah dan sebagainya, kita akan terus berhubung dengan kerajaan negeri," katanya.
Gelombang kedua banjir yang negeri berkenaan minggu lalu, membabitkan 41,021 mangsa terpaksa dipindahkan ke 296 pusat pemindahan sementara (PPS).
Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, banjir kali ini merupakan situasi terburuk pernah dialami Terengganu dengan kesemua lapan daerah dalam negeri itu terjejas dalam tempoh yang sama.
"Kerajaan negeri juga akan menyamlaikan bantuan tunai kepada seramai 11,308 ketua isi rumah (KIR) terlibat sebagaimana diumumkan baru-baru ini," katanya.