Berita :
MAIDAM Tubuh Pusat Tukang Emas, Tapak Baharu Industri Emas Terengganu
MAIDAM Tubuh Pusat Tukang Emas, Tapak Baharu Industri Emas Terengganu
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
55

KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Penubuhan MAIDAM Goldsmith merupakan satu inisiatif strategik bagi membangunkan industri emas berasaskan warisan tempatan secara lebih tersusun dan profesional di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Nara Setia berkata, penubuhan pusat pertukangan emas tersebut bukan sekadar membuka premis perniagaan, sebaliknya bertujuan mengangkat semula seni pertukangan emas Terengganu yang sarat dengan nilai sejarah dan budaya.

Katanya, MAIDAM Goldsmith turut beroperasi dengan pendekatan menyeluruh termasuk pematuhan syariah, ketelusan transaksi dan pembangunan bakat tukang emas tempatan.

"Serta integrasi dengan ekosistem ekonomi MAIDAM seperti Ar-Rahnu, simpanan emas dan pelaburan emas. Kita mahu menjadikannya sebagai pusat kecemerlangan seni pertukangan emas di negeri Terengganu," jelasnya ketika ditemui sempena Majlis Peluncuran MAIDAM Goldsmith, Gold Dar Edisi Aidilfitri dan Jualan Rakyat Bergerak, semalam.

Jelas beliau, selain aktiviti komersial, keuntungan yang dijana juga akan menyokong pelbagai program pembangunan ummah dan kebajikan dilaksanakan oleh MAIDAM.

"Seperti mana-mana aktiviti komersial yang dilaksanakan oleh entiti berkaitan institusi Islam, ia bertujuan menjana pendapatan yang mampan. Namun lebih penting ialah bagaimana pendapatan itu digunakan.

"Keuntungan yang dijana akan menyokong pelbagai program pembangunan ummah dan aktiviti kebajikan yang dilaksanakan oleh MAIDAM.

"Dalam konsep ekonomi Islam, aktiviti perniagaan dan kebajikan tidak dipisahkan, sebaliknya saling menyokong antara satu sama lain," ujarnya.

Beliau menjelaskan, setiap urus niaga emas di premis berkenaan mematuhi garis panduan syariah termasuk aspek ketulenan emas, ketelusan harga dan akad jual beli yang jelas.

Tambahnya lagi, operasi MAIDAM Goldsmith turut dipantau oleh Jawatankuasa Syariah bagi memastikan semua aktiviti perniagaan sentiasa selaras dengan kehendak syarak.

"Pendekatan ini memberi jaminan kepada pelanggan bahawa urus niaga yang dijalankan adalah patuh syariah dan boleh diyakini," katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, program ini diperkenalkan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

"Pendekatan 'bergerak' pula membolehkan kita turun terus ke kawasan komuniti, termasuk di masjid-masjid dan kawasan perumahan, supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaatnya tanpa perlu pergi jauh," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan program tersebut akan diperluaskan ke lebih banyak lokasi secara berperingkat berikutan sambutan baik daripada masyarakat.

Menurutnya, dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, beliau berharap agar dapat berkembang sebagai jenama yang diyakini bukan sahaja di Terengganu, malah di peringkat nasional dan menjadi pusat kecemerlangan dalam seni pertukangan emas patuh syariah.

"Kita mahu ia menjadi pusat kecemerlangan dalam seni pertukangan emas, melahirkan tenaga kerja mahir, membuka peluang pekerjaan dan pada masa yang sama memperkukuh ekonomi ummah melalui industri emas yang patuh syariah.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan