KUCHING, 18 Ogos- Majlis Pembukaan Temasya Sukan Malaysia SUKMA XXI Sarawak, malam tadi mendapat pujian ramai pihak.
Ketua kontinjen Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, apa yang dilakukan Sarawak wajar dicontohi negeri lain.
"Majlis pembukaan yang berlangsung semalam bertaraf antarabangsa, kami kontinjen Terengganu berterima kasih kepada penganjur atas kecemerlangan dalam melaksanakan majlis berkenaan.
"Kesungguhan ini wajar dicontohi penganjur SUKMA selepas ini supaya temasya nasional terbesar ini lebih berprestij dan dapat menarik peninjau bakat bertaraf dunia ke sini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi UPDI, pagi ini.
Beliau memuji sokongan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak atas sokongan dan usaha yang dilakukan.
Sebelum ini, Tun Ahmad Faisal juga memuji perkampungan sukan SUKMA XXI Sarawak.
Tuan rumah Sarawak katanya, tidak hanya menyediakan penginapan semata-mata, malah turut menempatkan petugas-petugas yang sentiasa bersedia untuk membantu sebarang keperluan kontinjen.
"Penginapan yang bersih dan teratur memberi tambah nilai besar khususnya secara tidak langsung memberi motivasi yang tinggi kepada atlet untuk fokus sepenuhnya kepada pertandingan tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam ucapannya memaklumkan, temasya kali ini merupakan yang terbesar dalam sejarah penganjurannya.
"Ia mempertandingkan 37 jenis sukan melibatkan sembilan bahagian negeri Sarawak.
"Seramai 7,838 atlet dihimpunkan, pelbagai mesej boleh disampaikan.
"Sebagai atlet muda negara yang mempunyai penyokong, anda semua mpunyai peranan untuk memastikan ekosistem sukan mengutamakan perpaduan, menggalakkan persaingan sihat dan tidak toksik," katanya.