• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Manfaatkan Tawaran Ke Sekolah Berasrama Penuh



Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 6 Januari-Pelajar cemerlang di daerah ini khususnya diharap manfaatkan tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau sekolah yang lebih baik untuk mencapai lebih kecemerlangan pada masa akan datang.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, peluang yang telah diberikan itu seharusnya tidak dipersiakan oleh para pelajar cemerlang yang merupakan harapan negeri.

“Kerana sekolah berasrama penuh menjanjikan suasana belajar yang lebih berdaya saing, mempunyai guru-guru yang berpengalaman, berkaliber serta berkebolehan melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang.

“Jika hanya masih bersekolah disini (luar bandar) akan merasa telah selesa kerana tampil paling cemerlang, tiada persaingan sangat berbanding ke sekolah yang lebih baik dimana lebih ramai pelajar lebih cemerlang dan dari situ akan mendatangkan semangat untuk bersungguh-sungguh serta akan belajar dengan lebih tekun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program meraikan pelajar yang telah memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah UPSR yang dianjurkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jerangau baru-baru ini.

Ghazali turut memberi ingatan apabila belajar di sekolah yang lebih baik berada jauh dari ibu bapa penting bagi pelajar menjaga diri dengan baik.

“Tanamkan azam untuk belajar bersungguh-sungguh, menuntut ilmu agar kelak menjadi modal insan yang cemerlang membantu pembangunan negara mahupun negeri Terengganu sendiri di masa akan datang,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada pelajar-pelajar yang menerima tawaran ke sekolah lebih baik sebagai pembuka lembaran baru bagi menanam keazaman sebagai seorang pelajar.

Tag: