KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Masalah emosi dikenal pasti menjadi isu utama kesihatan mental rakyat terutama dalam kalangan suri rumah tangga.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din berkata, ramai yang beranggapan bahawa golongan ini tidak menghadapi stress memandangkan mereka hanya duduk di rumah dan ‘tidak bekerja’.
"Alhamdulillah, Program Inspirasi Suri Sejahtera ini diadakan sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu bagi menyediakan platform kepada wanita Terengganu.
"Supaya dapat membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu dan menggusarkan mereka diuji dengan masalah kesihatan mental," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Inspirasi Suri Sejahtera yang diadakan di Dewan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), pada Khamis.
Menurutnya, Kerajaan negeri memandang serius kebajikan rakyat termasuklah kaum wanita dan ini dizahirkan melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) yang telah dilancarkan pada Julai 2018.
"Kerajaan Negeri Terengganu sangat memartabatkan wanita Terengganu.
"USWa banyak menganjurkan pengisian-pengisian khas untuk kaum wanita, antaranya termasuklah Suara Hati Wanita yang menampilkan para panel pakar di dalam pelbagai bidang dalam undang-undang, jenayah dan psikologi," ujarnya.
Justeru itu, beliau menyeru agar semua pihak menyokong usaha-usaha kerajaan dalam melaksanakan program-program dakwah, kebajikan khususnya buat wanita Terengganu.
"Insya Allah pada masa yang mendatang, Kerajaan Negeri Terengganu akan sedaya upaya mengerahkan tenaga memberikan yang terbaik untuk rakyat selari dengan slogan Terengganu Maju Berkat Sejahtera," tambah beliau.
Sementara itu, Kerajaan negeri juga tidak menghalang wanita Terengganu untuk berhibur.
"Namun perlulah ada garis panduan dan ini dibuktikan melalui program Alamanda Fun Run, Sukan Untuk Wanita (SUKWA), dan Terengganu Hijab Day (THD).
"Kerajaan Negeri Terengganu telah melancarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri TerenggaTerengganu yang telah dilancarkan pada 3 Mac 2020," katanya lagi.