Masyarakat Terima Baik Pentadbiran MPKK


Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 8 Julai –  Penerimaan masyarakat setempat menerima terhadap pentadbiran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) yang dilantik oleh PAS di kawasan masing-masing dapat dilihat melalui penglibatan mereka dalam setiap aktiviti  yang dilaksanakan oleh pihak MPKK.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata beliau merasa bersyukur kerana mereka sanggup bekerjasama tanpa mengira fahaman politik masing-masing untuk kehidupan yang lebih selesa.

Menurutnya dengan kemudahan orang kampung yang mempunyai kelengkapan mesin potong kayu, lori dan jentolak, ini sangat membantu, kerja-kerja gotong royong.

"Semalam mereka bergotong royong membersih kubur, menebang pokok, hari ini di sini(padang bola) dan saya nampak ramai juga orang kampung yang keluar untuk sama-sama menjayakannya.

" Ini satu simbol muafakat yang akan mensejahterakan kampung dan contohnya, kita lihat pada hari ini apabila orang kampung sudah tidak ambil kisah fahaman politik dan turun padang bergotong royong supaya padang yang luas ini dapat digunakan semaksima mungkin untuk kepentingan bersama,”katanya ketika ditemui di Gotong Royong Perdana anjuran MPKK Kampung Baru, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Kampung Baru, Shafie Mamat melahirkan rasa gembira kerana gotong-royong yang diadakan selama dua hari berjaya menarik minat penduduk.

"Tujuan sebenar gotong royong ini adalah hendak melihat sejauh mana sambutan penduduk kampung terhadap kerja-kerja kemasyarakatan sebegini.

"Kalau sebelum pilihan raya umum, memang orang atas pagar pun takut untuk bersama ikut serta aktiviti kita, tetapi hari ini, orang Umnopun nampaknya tidak keberatan untuk turut sama, " tambahnya.



Katanya lagi, dengan sambutan yang ditunjukkan akan memberi kekuatan kepada pihaknya untuk merancakkan lagi program-program untuk faedah bersama.

Tag: