KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan antara empat individu terawal yang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 di negeri Terengganu mulai esok.
Perkara tersebut disahkan oleh Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah, selain tiga individu lain termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zahari Md. Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus yang akan turut menerima suntikan.
“Pihak Kementerian Kesihatan memberi jaminan tiada kesan sampingan akan berlaku selepas suntikan. Bagaimanapun pemantauan akan turut dibuat bagi setiap individu yang menerima suntikan vaksin ini.
"Selain itu dianggarkan 15,000 barisan hadapan termasuk 530 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu akan turut menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa satu.
“Ia akan dilakukan secara berperingkat di 20 pusat pemberian vaksin (PPV) yang akan dibuka di lokaliti masing-masing,” katanya pada sidang media sempena Taklimat Pemerkasaan Komuniti Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) di Bilik Gerakan Bencana Terengganu di sini hari ini.
Dalam pada itu, jelasnya, barisan hadapan terlibat akan menerima notifikasi tarikh dan lokasi penerimaan suntikan vaksin COVID-19 masing-masing melalui aplikasi MySejahtera.
Kesemua 530 pegawai dan anggota APM negeri telah diwajibkan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 berkenaan mengikut jadual ditetapkan.