MB Terengganu Puji Penganjuran Program ILM

Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.


GOMBAK, 23 April - Penganjuran program bersiri 'Islam Leading Model' (ILM) mendapat pujian Menteri Besar (MB) Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahmad Samsuri berkata, program tersebut yang akan dan telah mengetengahkan ramai tokoh hebat dalam pelbagai bidang mampu merangsang minda serta pemikiran warga universiti.

Jelasnya, mahasiswa dan mahasiswi adalah golongan pelapis serta pemimpin negara pada masa akan datang yang memerlukan percambahan idea mahupun ilmu bagi melengkapkan pakej sebagai seorang pemimpin berkualiti.

“Ini adalah satu yang sangat baik untuk mahasiswa dan semua komuniti di universiti, bagi membuka minda mereka supaya dapat melihat sesuatu perkara dan isu daripada pelbagai perspektif.

“Kerana mereka ini lambat laun akan keluar dan duduk bersama masyarakat, jadi melihat daripada perspektif mereka sendiri sebagai pelajar dengan mendengar serta menerima pandangan yang daripada pelbagai pembentang itu merupakan satu perkara yang penting,” jelasnya.
Memberi syarahan mengenai konsep rahmatan lil 'alamin.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan syarahan perdana dalam program bersiri itu yang bertajuk Malaysia : Model of Rahmatan Lil ‘Alamin di Pusat Kebudayaan (ICC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UIAM, Dr. Zulkifli Hasan, Penasihat Ma’ruf Club (MC) UIAM, Dr Nik Abd Saiful Azizi Nik Abdullah, Pengarah Program, Md Hisyam Yunus, pensyarah-pensyarah UIAM serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM. 

 Dr. Samsuri menyampaikan syarahan bertujuan untuk menyebarluaskan idea dan konsep rahmatan lil ‘alamin dengan tepat serta memupuk kesedaran bagi menjadi seorang warganegara yang baik serta mahasiwa yang bertanggungjawab.

Pidato ilmiah tersebut berjaya mengumpulkan hampir 1,500 warga universiti yang terdiri daripada pelbagai bidang pengajian.

Program ILM yang dianjurkan oleh MC UIAM itu sudah memasuki siri kedua selepas yang pertama pada November tahun lalu.

Siri terdahulu menampilkan bekas Naib Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia (KUIS), Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dengan syarahan ‘Geopolitics : Islam In the Future’.

Mahasiswa tidak melepaskan peluang untuk bertanya soalan kepada MB Terengganu.


Tag: