KUALA TERENGGANU, 1 April – Menteri Besar Terengganu menyeru agar usaha mengembalikan kegemilangan tamadun Islam dan Alam Melayu tidak hanya bertumpu kepada kebanggaan terhadap sejarah silam, sebaliknya diasaskan kepada penilaian yang jujur terhadap kapasiti semasa umat dalam pelbagai bidang.
Menurut Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, kebangkitan semula tamadun itu memerlukan kesungguhan untuk membina kembali asas-asas yang pernah menjadikan umat Islam dan rantau Alam Melayu relevan di persada global suatu ketika dahulu.
Katanya, tidak memadai untuk sekadar meraikan pencapaian lampau tanpa disusuli usaha yang bersungguh-sungguh bagi memperkukuh kembali kekuatan yang pernah dimiliki.
“Tidak cukup untuk kita sekadar meraikan sejarah lalu, sebaliknya perlu bersungguh-sungguh membina semula asas yang pernah menjadikan kita relevan di persada global suatu ketika dahulu,” katanya dalam satu kenyataan sempena Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu yang akan bermula esok.
Dalam kenyataan itu, beliau menggariskan lima perkara utama yang menurutnya perlu diberi perhatian jika wacana kebangkitan tamadun Islam dan Alam Melayu mahu diterjemahkan secara bermakna.
Perkara pertama, kata beliau, ialah memperkukuh hubungan antara Islam dan identiti Melayu secara substantif, bukan sekadar simbolik.
Menurutnya, pada zaman kegemilangan lampau, Islam bukan hanya terhad kepada amalan ritual, tetapi berfungsi sebagai kerangka yang membentuk tadbir urus, ekonomi dan budaya masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berkata prinsip-prinsip Islam perlu diterjemahkan secara praktikal dalam kehidupan masyarakat hari ini, termasuk melalui pembangunan dasar awam yang lebih berkesan.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan pembaharuan pendidikan dan pengukuhan semula tradisi keilmuan.
Katanya, rantau ini pernah melahirkan ramai ulama, ilmuwan dan pusat pengajian yang mempunyai hubungan dengan dunia luar, sekali gus meletakkan Alam Melayu dalam jaringan intelektual yang lebih luas.
Justeru, menurut beliau, budaya intelektual itu perlu dibina semula dengan memberi penekanan kepada pemikiran kritis, penyelidikan dan penguasaan pelbagai cabang ilmu moden.
Beliau turut menyifatkan pembentukan semula jaringan global sebagai antara syarat penting untuk mengembalikan kekuatan Alam Melayu.
Katanya, pada masa lalu, rantau ini menjadi kuat kerana keterhubungan yang kukuh melalui perdagangan, ilmu dan diplomasi.
Dalam konteks semasa, beliau berpandangan umat di rantau ini perlu mempunyai kedudukan dalam rantaian nilai global, kerjasama pendidikan dan pengaruh dalam wacana antarabangsa.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa Bahasa Melayu perlu diperkasa sebagai bahasa ilmu dan perpaduan.
Menurutnya, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi turut membentuk cara fikir sesuatu bangsa.
“Sekiranya bahasa kita lemah dalam bidang ilmu yang penting, kita akan selamanya bergantung kepada bahasa dan cara fikir luar,” katanya.
Mengulas cabaran semasa pula, beliau berkata proses Islamisasi memerlukan keseimbangan dan kematangan dalam pendekatan.
Katanya, pendekatan yang terlalu tegas boleh menyebabkan realiti semasa diabaikan, manakala pendekatan yang terlalu longgar pula berisiko menghilangkan asas yang perlu dipertahankan.
Beliau berkata keadaan itu menuntut dialog yang berterusan antara ulama, akademia dan penggubal dasar supaya pendirian serta sikap yang sejajar dapat dibentuk dalam menangani sesuatu isu.
Menurutnya, semua agenda itu bukan kerja sehari dua, sebaliknya menuntut kesungguhan, kekuatan institusi dan keazaman politik yang mesti digembleng secara besar-besaran walaupun berdepan kesukaran.
Katanya, itulah antara hasrat besar di sebalik penganjuran Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Alam Melayu.
Dalam kenyataan sama, beliau yang mewakili Kerajaan Negeri Terengganu turut mengucapkan selamat datang kepada semua tetamu dari dalam dan luar negara yang hadir ke program berkenaan.
Beliau juga menjemput rakyat negeri ini untuk bersama-sama menghadiri program itu, bukan sekadar bagi memeriahkannya, tetapi untuk mengambil manfaat daripada pengisian yang disifatkannya penuh makna.
“Mudah-mudahan segala usaha ini diberkati oleh Allah SWT, dan menjadi langkah awal ke arah kebangkitan yang bermaruah,” katanya.
Tag :