lightning-solid
Berita :
Reban Ayam Terbengkalai Bukit Nenasi, Bukit Lawang Dalam Radar Pemulihan
Reban Ayam Terbengkalai Bukit Nenasi, Bukit Lawang Dalam Radar Pemulihan
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
57

DUNGUN, 3 Mac - Kejayaan pemulihan Reban Ayam Baruh Masin di Hulu Besut menjadi pemangkin kepada usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memulihkan lebih banyak aset pertanian yang telah uzur bagi memperkukuh agenda keterjaminan makanan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, selepas fasiliti di Baruh Masin kembali beroperasi pada awal 2025 dan berjaya mengeluarkan enam pusingan ternakan ayam dengan kapasiti 25,000 ekor bagi setiap pusingan.

Menurutnya tumpuan kini beralih kepada beberapa lagi reban milik kerajaan yang terbiar dan memerlukan naik taraf.

Kata beliau, antara fasiliti 'sakit' yang dikenal pasti ialah Reban Ayam Bukit Lawang, Setiu serta reban ayam tertutup Bukit Nenasi di Kuala Nerus milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu.

"Reban ayam tertutup Bukit Nenasi Kuala Nerus milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu antara yang berada dalam radar Kerajaan Negeri untuk kerja-kerja baik pulih dan naik taraf pada tahun ini. 

"Ia sebahagian usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kadar kecukupan bekalan ayam di negeri ini," katanya menerusi sebuah hantaran, semalam.

Beliau menjelaskan, pembinaan baharu kompleks reban tertutup memerlukan kos jutaan ringgit, justeru pendekatan kerajaan adalah memulihkan fasiliti sedia ada sebagai langkah lebih berhemah dan menjimatkan wang rakyat.

"Strategi kita menumpukan kepada pemulihan fasiliti sedia ada demi menjimatkan wang rakyat seterusnya mengembalikan manfaat kepada rakyat," ujarnya.

Terkini, Kerajaan Negeri sedang menunggu kelulusan peruntukan di bawah dana kerjasama keterjaminan makanan antara kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi tujuan itu.

"Kita sedang menunggu peruntukan. Kalau diluluskan, dia adalah peruntukan bawah dana kerjasama keterjaminan makanan kerajaan negeri dan juga KPKM.

"Sekiranya mendapat peruntukan, insya-Allah kerja-kerja (pemulihan) itu boleh disiapkan dalam masa sebelum daripada akhir tahun," ulasnya.

Dato' Dr. Azman berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Agihan Lesen Sampan Nelayan 2026 siri ketiga di Seberang Pintasan, Dungun, pagi tadi.

Tambahnya, kejayaan di Baruh Masin membuktikan aset lama yang dipulihkan mampu kembali menjana hasil dan memberi impak langsung kepada kestabilan bekalan ayam negeri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

"Ada lagi beberapa aset yang terbiar, yang akan kita bolehkan untuk memberi manfaat kepada rakyat kita," katanya ringkas.


Artikel Berkaitan