Berita :
Terengganu Bangun Projek Ladang Solar RM1.2 bilion
Terengganu Bangun Projek Ladang Solar RM1.2 bilion
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
4

KUALA LUMPUR, 11 Jun -  Terengganu terus mengorak langkah dalam agenda tenaga hijau apabila projek pembangunan ladang solar berkapasiti 400 megawatt (MW) bernilai RM1.2 bilion bakal dibangunkan di atas tanah wakaf konsesi Chenderong.

Projek itu dimeterai menerusi Majlis Menandatangani Tribute Arrangement Agreement bagi Penstrukturan Semula Putera South Blok 2 antara Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Anglo-Eastern Plantation (AEP) dan reNIKOLA Holdings di Mandarin Oriental di sini semalam.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, pembangunan berkenaan merupakan inisiatif strategik yang selari dengan agenda pembangunan mampan serta usaha mempelbagaikan sumber ekonomi negeri.

Menurut beliau, projek tersebut dijangka menjana kira-kira 930,800 megawatt jam (MWh) tenaga elektrik setahun selain mewujudkan sekitar 4,270 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

“Projek ini bukan sahaja menyokong aspirasi negara dalam memperkukuhkan penggunaan tenaga boleh baharu, malah membuka sumber pendapatan baharu kepada dana wakaf negeri.

“Hasil yang diperoleh kelak boleh dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan, pendidikan dan pembangunan sosial yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.

Mohd Azmi berkata, pelaksanaan projek itu turut membuktikan potensi tanah wakaf untuk dibangunkan secara produktif melalui kerjasama strategik antara agensi agama dan sektor swasta.

"Keistimewaan projek ini adalah pelaksanaannya melibatkan tanah wakaf yang diuruskan oleh MAIDAM.

"Ini membuktikan bahawa aset wakaf mampu diperkasakan secara profesional dan produktif tanpa menjejaskan tujuan asal pewakafan," ujarnya lagi.

Jelas beliau, ia adalah manifestasi sebenar wakaf yang bukan sahaja memelihara aset, malah mengembangkan 
manfaatnya kepada generasi semasa dan akan datang.

Tambahnya lagi, pembangunan ladang solar tersebut dijangka memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri menerusi penciptaan peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta peningkatan aktiviti ekonomi setempat.

“Ini adalah satu langkah penting dalam memperkukuhkan kedudukan Terengganu sebagai negeri yang progresif dalam sektor tenaga hijau dan pembangunan mampan,” ujar Mohd Azmi.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan