lightning-solid
Berita :
Memartabatkan Seni Khat: Usaha Kerajaan Terengganu Membina Generasi Pewaris Tamadun Islam
Memartabatkan Seni Khat: Usaha Kerajaan Terengganu Membina Generasi Pewaris Tamadun Islam
Mastura Jamal Din
11 jam yang lepas
116

Oleh: Amir Husin Ali
Persatuan Khat Negeri Terengganu (PIKAT)

KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Di sebalik arus globalisasi yang semakin deras dan ledakan teknologi digital yang mengubah landskap kehidupan masyarakat, Kerajaan Negeri Terengganu terus membuktikan bahawa warisan Islam tidak pernah dipinggirkan.

Sebaliknya, khazanah yang menjadi lambang ketamadunan umat itu terus diperkasakan agar tidak hilang ditelan zaman.

Penganjuran Festival Khat Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024 oleh Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) bukan sekadar menghimpunkan ratusan pencinta seni khat dari seluruh negara, malah membuktikan kesungguhan  negeri itu dalam memelihara serta mengangkat warisan seni Islam agar terus subur dalam jiwa generasi muda.

Festival yang berlangsung di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu itu berjaya menarik penyertaan kira-kira 250 peserta dari seluruh Malaysia.

Sambutan yang amat menggalakkan ini memperlihatkan bahawa seni khat masih mempunyai tempat istimewa dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda yang dahagakan ruang untuk mengembangkan bakat dan mendalami khazanah warisan Islam.

Lebih membanggakan, Terengganu sekali lagi berjaya meletakkan dirinya sebagai negeri yang menjadi peneraju dalam usaha mengangkat martabat seni Islam ke pentas yang lebih tinggi.

Malah inisiatif ini selari dengan dasar Kerajaan Negeri yang konsisten memperkasakan syiar Islam dalam pelbagai aspek pembangunan.

Seni khat bukan sekadar satu cabang seni, tetapi merupakan lambang ketamadunan Islam yang menggabungkan nilai keindahan, ilmu dan penghayatan terhadap al-Quran.

Perkara ini turut ditegaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat, yang menekankan kepentingan usaha berterusan untuk memupuk minat generasi muda terhadap seni khat melalui penganjuran program secara berkala.

Usaha tersebut amat signifikan kerana Terengganu sememangnya mempunyai sejarah yang cukup istimewa dalam perkembangan tulisan Jawi dan tamadun Islam di Nusantara. 

Penemuan Batu Bersurat Terengganu menjadi bukti bahawa negeri ini pernah menjadi antara pusat penyebaran ilmu dan peradaban Islam yang unggul sejak ratusan tahun lalu.

Atas sebab itu, dasar kerajaan negeri yang menggalakkan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan pelbagai medium awam bukan sekadar langkah memelihara identiti negeri, malah menjadi usaha menghidupkan kembali warisan yang menjadi kebanggaan rakyat Terengganu.

Festival seperti ini juga membuka ruang kepada pelajar sekolah mengenali seni khat secara lebih dekat.

Pendedahan sejak usia muda mampu melahirkan lebih ramai penulis khat yang bukan sahaja mahir menghasilkan karya berkualiti, malah memahami falsafah dan disiplin sebenar seni kaligrafi Islam.

Dalam era digital hari ini, cabaran terhadap kelestarian seni khat semakin besar. Lambakan contoh di media sosial menyebabkan ramai cenderung meniru atau menggunakan kaedah "copy and paste" tanpa memahami asas penulisan sebenar.

Hakikatnya, setiap jenis khat mempunyai peraturan, ukuran dan disiplin tersendiri yang hanya dapat dikuasai melalui pembelajaran secara berguru.

Sehubungan itu, Persatuan Khat Negeri Terengganu (PIKAT) menyambut baik komitmen Kerajaan Negeri melalui JPINT dalam memperluaskan program pembangunan bakat di sekolah-sekolah.

Kerjasama berterusan antara kerajaan, institusi pendidikan dan persatuan seni khat amat penting bagi memastikan kaedah pembelajaran secara talaqqi bersama guru yang berpengalaman dapat diteruskan.

Langkah ini bukan sahaja melahirkan pelapis baharu dalam bidang seni khat, malah membentuk generasi yang menghargai warisan Islam, mencintai tulisan Jawi dan memahami nilai estetika yang terkandung dalam setiap lakaran ayat suci al-Quran.

Sesungguhnya, kejayaan Festival Khat Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024 membuktikan bahawa pelaburan kerajaan negeri dalam memartabatkan seni dan budaya Islam semakin menampakkan hasil. 

Dengan komitmen yang berterusan, Terengganu berpotensi muncul sebagai pusat kecemerlangan seni khat negara sekali gus mengembalikan kegemilangan warisan Islam yang menjadi identiti negeri sejak sekian lama.

Usaha murni ini wajar diteruskan dan diperkasakan agar seni khat tidak sekadar menjadi warisan sejarah, tetapi terus hidup sebagai budaya ilmu yang diwarisi dan dibanggakan oleh generasi masa depan.


Tag :

Artikel Berkaitan