Menu RM3.50 Manfaatkan Lebih 9,000 Pelajar UMT

KUALA NERUS, 17 Julai -Sudut Menu Keluarga Universiti Malaysia Terengganu(UMT) menawarkan pelbagai pilihan menu makanan dengan harga RM3.50  bagi meringankan beban yang ditanggung pelajar, terutama golongan B40.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata
inisiatif tersebut bakal memanfaatkan lebih 9,000 pelajar UMT  khususnya mahasiswa dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

"Dengan harga RM3.50, menu adalah berbeza mengikut pilihan 24 pengusaha makanan di dalam kampus, namun dapat membantu mahasiswa  untuk mendapatkan makanan dengan harga murah tetapi lengkap dengan nutrisi dengan menu asas adalah nasi, ayam dan sayur.

"Kita juga bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) bagi mengawal dan memantau kadar harga makanan dan kualiti perkhidmatan di kafetaria kampus,"katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media sempena Pelancaran Menu Keluarga UMT dan Dapur AOK-GR bertempat di Kolej Kediaman Sheikh Abdul Malek, di sini hari ini.

Tambahnya, dengan adanya bantuan itu, pelajar kini boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran tanpa memikirkan perbelanjaan membeli makanan.

Bagi pelajar Tahun Satu  Kejuruteraan Perisian, Siti Nur Aisyah Abdullah, 21, menu yang disediakan memang membantu terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Katanya yang berasal dari Melaka, kebiasaannya dia dan rakan membelanjakan hampir RM10 untuk menu makan tengah hari berserta air.

"Dengan adanya menu murah ini, kami boleh makan dengan rasa tenang dan tidak perlu bimbang untuk membeli makanan lagi.

"Ia adalah inisiatif yang baik dan dapat membantu ramai mahasiswa untuk menikmati juadah," ujarnya.