lightning-solid
Berita :
Mini Karnival Kesejahteraan Dekatkan Perkhidmatan Kepada Rakyat
Mini Karnival Kesejahteraan Dekatkan Perkhidmatan Kepada Rakyat
Ridhwan Balian
2 jam yang lepas
36

KEMAMAN, 6 Ogos – Mini Karnival Kesejahteraan Terengganu 2026 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih yang berlangsung di Binjai Souq, Kemaman  pada 5 Ogos 2026 berjaya menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik dalam usaha mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat setempat.

Program berkenaan dianjurkan sebagai platform sehenti yang membolehkan masyarakat mendapatkan pelbagai maklumat, khidmat nasihat serta urusan berkaitan perkhidmatan awam dan pembangunan komuniti di bawah satu bumbung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, penganjuran program seumpama itu memberi peluang kepada rakyat untuk mengakses pelbagai perkhidmatan dengan lebih mudah, cepat dan berkesan tanpa perlu berurusan di beberapa lokasi berasingan.

Menurut beliau, inisiatif tersebut selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa dekat dengan rakyat serta dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Mini Karnival Kesejahteraan Terengganu ini bukan sekadar pameran atau program turun padang biasa, tetapi menjadi jambatan yang menghubungkan rakyat dengan pelbagai agensi yang menyediakan perkhidmatan penting kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, kehadiran pelbagai agensi dalam satu lokasi membolehkan rakyat mendapatkan maklumat secara terus selain menyelesaikan pelbagai urusan berkaitan kebajikan, kewangan, latihan kemahiran, telekomunikasi dan simpanan masa depan.

“Kita mahu rakyat mendapat manfaat secara terus daripada perkhidmatan yang disediakan. Apabila agensi turun ke lapangan dan bertemu rakyat, banyak urusan dapat dipermudahkan serta pelbagai isu dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya lagi.

Antara agensi yang mengambil bahagian dalam program berkenaan ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Lembaga Tabung Haji, HRD Corp, CelcomDigi, Unifi dan Ar-Rahnu YAPEIM.

Salah satu pengisian yang mendapat perhatian pengunjung ialah taklimat berkaitan Skim i-Suri oleh KWSP yang memberi penerangan kepada golongan wanita dan suri rumah mengenai kepentingan simpanan persaraan serta jaminan masa depan.

Mohd Hafiz berkata, golongan wanita khususnya suri rumah memainkan peranan besar dalam membentuk institusi keluarga yang sejahtera dan sewajarnya diberikan perhatian melalui pelbagai inisiatif yang mampu meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih banyak agensi bagi memastikan manfaat dan peluang yang disediakan kerajaan dapat disampaikan secara terus kepada rakyat di peringkat akar umbi.


Tag :

Artikel Berkaitan