Move The HEART Orang Asal Sungai Pergam

KEMAMAN, 30 September - Seminar ‘Move The H.E.A.R.T’ merupakan salah satu program khas di bawah inisiatif Empower ECER (Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur) Kemaman untuk memperkukuh dan meningkatkan prestasi akademik serta peratus kehadiran pelajar Orang Asal ke sekolah.

Program Khas Orang Asal ‘Empower ECER’ memberi latihan akademik memfokuskan pengukuhan asas akademik pelajar Tahun 5 dan 6 melalui pendekatan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan bagi meningkatkan minat pelajar untuk hadir ke sekolah dan mengikuti program yang dijalankan.

Mengulas mengenai program tersebut, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, dua perkara penting yang perlu menjadi perhatian para pendidik, sama ada ibu bapa atau guru-guru adalah pembentukan sahsiah pelajar.

"Ianya harus dimulakan di rumah dan diteruskan di sekolah serta diberi perhatian yang sebaiknya agar prestasi anak-anak pelajar dalam akademik tidak ketinggalan lebih-lebih lagi dalam subjek yang dipelajari," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Seminar Move The H.E.A.R.T Bersama Orang Asal Sungai Pergam Kemaman anjuran Empower ECER Latihan Akademik.

Program itu dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Seramai 150 orang peserta ibu bapa dan pelajar menghadiri seminar bermula seawal 7.30 pagi dan berakhir pada 12.30 tengah hari dengan pengisian zumba, Pertandingan Pakaian Seragam, Pertandingan Mewarna Tema Hari Malaysia dan Seminar Keibubapaan bersama mantan guru pakar bahasa Inggeris, Habibudin Rejab.

Empower ECER di Terengganu diperkenalkan buat pertama kalinya di daerah Kemaman pada tahun 2011 dan diperluaskan ke daerah Dungun, Besut, Hulu Terengganu, Setiu, Marang dan Seberang Takir dengan mempunyai seramai 13,751 peserta Program Latihan Akademik dan 5,964 peserta Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang telah dan sedang dijalankan sehingga kini.

Johan Pertandingan Pakaian Beragam, Adik Siti Raudhah (Odah).

Hadir sama dalam majlis berkenaan, Eksekutif Pejabat ECERDC, Mustafa Emam Mokhtar.


Tag: