• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

MPKK Kg Raja Sedia Pengangkutan Percuma Untuk Pesakit Kronik


Oleh: Syed Kamal Syed Omar

KUALA TERENGGANU, 21 April - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Raja Chendering mengambil inisiatif menyediakan pengangkutan percuma untuk pesakit kronik berulang alik mendapatkan rawatan di  Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).  

Pengerusi MPKK, Tuan Ngah Tuan Ahmad berkata, perkhidmatan yang akan disediakan dalam tempoh terdekat itu boleh diguna pakai oleh mana-mana pesakit terlantar yang kurang berkemampuan.

“Terbaru, pengangkutan  sama bermungkinan akan digunakan pesakit kronik, Razali Sulong untuk ke HSNZ bagi menjalani dialisis buah pinggang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pusat Khidmat Bergerak di Dewan Surau As Salam, Chendering Raja, di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.

Sementara itu, isteri kepada Razali, Zaimoh Mohamad, 57, berkata, suaminya dalam keadaan terlantar disebabkan kemalangan jalan raya tiga tahun lalu.

Katanya, sejak itu, doktor yang merawat mengesan pendarahan dalam kepala, kerosakan pada buah pinggang selain mengalami hilang ingatan sehingga kini.


“Sejak tragedi itu, dia tidak mampu lagi bekerja, sumber pendapatan keluarganya hanyalah bergantung kepada bantuan dari kerajaan iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) dan Tabung Darul Iman (TDI),” katanya.

Pasangan suami isteri ini mempunyai seorang anak angkat, Muhammad Nur Aiman Md Yusuf, 13, yang dibesarkan mereka sejak lahir dan sekarang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chendering.


Tag: