MTT Perkenal Kursus Untuk OKU Penglihatan Bina Kemahiran

KUALA TERENGGANU, 3 November – Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah (MTT) Darul Iman memperkenalkan kursus khas bagi Orang Kelainan Upaya (OKU)  melalui Markaz Tahfiz OKU Masalah Penghilatan (MTOKUMP-MTT) demi memberi peluang kemahiran buat golongan terbabit.

Seorang tenaga pengajar, Mohammad Ifram Abdul Rahman, 24 berkata, program tahfiz khusus OKU penglihatan itu mengfokuskan potensi mereka dalam bidang agama dan kemahiran vokasional, sekali gus membuka ruang interaksi lebih dekat dengan masyarakat.

“Kita nak orang yang buktikan orang yang bermasalah penglihatan ini bukan tak boleh buat apa-apa. Kita nak mereka keluar ke dalam masyarakat sekali gus membuktikan mereka boleh berbakti kepada masyarakat.

"Kita mahu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cekap dalam ilmu al-Quran, tetapi juga mampu memberi manfaat kepada masyarakat sebagai imam atau bilal,” jelasnya.

Beliau yang telah menjadi tenaga pengajar selama tiga tahun berkata demikian ketika ditemui pihak media di perkarangan MTT baru-baru ini.

Menurutnya, program itu turut memberikan peluang kepada golongan cacat penglihatan berumur antara 18 hingga 23 tahun untuk mendalami al-Quran, termasuklah menghafal kesemua 30 juzuk.

Katanya, setakat ini terdapat tujuh orang  pelajar yang belajar dari 9 pagi sampai pukul lima petang.  

“Di samping mereka belajar Braille selepas pandai kita bagi hafal Al-Quran pula, dari juzuk satu sampai 30.  Memang target kita nak suruh mereka jadi hafiz," ujarnya.

Selain aspek pengajian agama katanya, pelajar tahfiz ini juga dilatih dalam bidang refleksologi sebagai salah satu cara untuk berdikari.
 
Beliau menambah, kebolehan refleksologi ini diperoleh melalui latihan di kolej vokasional di Johor, dan pada bulan November ini, satu pusat refleksologi akan dibuka di premis tahfiz tersebut.

“Kami akan membuka perkhidmatan urutan setiap hujung minggu bagi memanfaatkan kemahiran yang mereka miliki, sambil memberi mereka ruang untuk berinteraksi dengan masyarakat.

“Di samping mereka belajar pada hari biasa, Jumaat Sabtu itu mereka boleh membuka perkhidmatan mengurut dan kita akan hebahkan tempat mengurut di sini,” ujarnya lagi.

 


Tag: