Musim Tengkujuh Pun Terengganu Dok Rilek!

KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Walaupun semakin menghampiri musim Monsun Timur Laut (MTL) atau tengkujuh, Terengganu terus giat mengadakan program-program pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke negeri pantai timur itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, terdapat beberapa acara utama yang menarik bakal dilangsungkan sepanjang musim MTL kali ini.

"Masih ada tiga bulan lagi sebelum MTL, acara kita lebih menghala kepada 'monsoon challenge' tetapi bukan di laut sebaliknya kita bertumpu ke Tasik Kenyir antaranya menerusi Monsoon Casting Tournament (MCT) untuk peminat kayak, kita juga ada 4x4 Rainforest Challenge untuk peminat pacuan empat roda, Kejohanan Motocross (Kemaman) dan sebagainya. tu yang kita beri tumpuan ketika MTL.

"Selain itu, walaupun kerajaan negeri tidak pernah memberi arahan khusus untuk menutup pulau-pulau, saya dapat lihat pengusaha sendiri yang mengambil pendekatan merendahkan (mengurangkan) operasi.

"Bukan (atas) faktor kerugian tetapi, dalam tempoh beberapa bulan inilah mereka mempromosikan chalet-chalet, resort mereka ke luar negara, bot-bot itu pula mereka baiki. Itulah tradisinya yang saya lihat di Terengganu dalam tempoh tiga bulan MTL," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Kejohanan Antarabangsa Paramotor Terengganu di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, semalam.

Kejohanan tersebut disertai 26 peserta dari seluruh negara melibatkan dua kategori pertandingan iaitu Trike Launch dan Foot Launch.

Dalam pada itu, Razali memaklumkan musim tengkujuh di Terengganu semakin menjadi tumpuan pelancong dengan pengisian program-program seperti Terengganu Watersport Festival dan International Golden Monsoon Ride yang sering diadakan pada hujung tahun.

"Sebenarnya, sudah bermula (musim tengkujuh) di mana hotel-hotel sudah mula beri diskaun yang tinggi untuk menarik pelancong dan puncaknya saya rasa pada hujung bulan ini, awal November sehingga Januari nanti," ujarnya.

 


Tag: