KUALA TERENGGANU, 30 September – Lembaga Muzium Negeri Terengganu mengetengahkan pendekatan baharu dalam menyampaikan sejarah dan warisan negeri dengan menjadikan pementasan teater sebagai medium pendidikan kepada masyarakat.
Pengarah Muzium Terengganu, Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, pendekatan berasaskan seni persembahan membolehkan sejarah diterjemahkan daripada teks bertulis kepada bentuk yang lebih hidup, interaktif dan mudah difahami.
Menurutnya, usaha itu dizahirkan menerusi Pementasan Teater Muzikal Diraja Karya Agung: Tawarikh Sultan Zainal Abidin III yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 13 Oktober ini di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TERS), Kuala Terengganu.
Beliau berkata, pementasan tersebut mengangkat Syair Tawarikh Sultan Zainal Abidin III karya Tengku Dalam Kalthum pada 1936 yang diolah menjadi skrip drama oleh Ali Jusoh sebelum diterjemahkan ke pentas oleh Marzuki Ali.
Pementasan itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta Grup Teater Asyik Terengganu.
“Dengan pendekatan ini, Lembaga Muzium Negeri Terengganu bukan sahaja memelihara teks dan manuskrip sejarah, tetapi turut menghidupkan kembali kandungan sejarah melalui medium seni persembahan,” katanya dalam kenyataan pada 29 September.
Mengulas lanjut, Mohd Iskandar berkata, gabungan lakonan, dialog, muzik, seni visual dan elemen dramatik membantu khalayak memahami sesuatu peristiwa sejarah dengan lebih mudah.
Menurutnya, pementasan berlatarbelakangkan zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III antara 1881 hingga 1918 itu turut memperluas fungsi muzium sebagai ruang ilmu, pendidikan, kreativiti dan penghayatan warisan.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan penting untuk mendekatkan institusi muzium dengan generasi muda yang lebih cenderung kepada penyampaian berbentuk visual, persembahan dan pengalaman secara langsung.
“Program ini juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperluas capaian muzium kepada masyarakat, khususnya golongan generasi muda yang lebih dekat dengan pendekatan komunikasi berbentuk visual, persembahan dan pengalaman secara langsung,” katanya.
Tambah beliau, teater dilihat sebagai pendekatan strategik untuk memperkaya fungsi muzium sebagai institusi pembelajaran sepanjang hayat, selain memperkenalkan sejarah dan warisan Terengganu secara lebih segar serta kreatif.
Melalui program itu, beliau berharap masyarakat melihat muzium bukan sekadar tempat menyimpan dan mempamerkan artifak, sebaliknya turut berperanan sebagai ruang pendidikan dan penghayatan warisan yang sentiasa berkembang.
“Program pementasan teater ini juga diharapkan menjadi pemangkin kepada penerokaan lebih banyak pendekatan kreatif pada masa hadapan dalam menyampaikan khazanah sejarah dan budaya Terengganu kepada masyarakat di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.