Nelayan Berumahkan Bangunan Tangki Air Terima Bantuan Segera



Oleh: Aslam Wira

MARANG, 17 Mei – Seorang nelayan, A Halim Zakaria, 63, yang tinggal di bawah bangunan tangki air surau sejak sebulan yang lalu telah menerima bantuan sewaan rumah segera.

Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata,  keputusan itu dibuat setelah mengadakan perbincangan bersama beberapa agensi yang terlibat.

Jelasnya, sebuah rumah yang lebih selesa bakal didiami Halim dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) akan mengendalikan urusan sewaan rumah berkenaan.

"Perjumpaan dan tinjauan bersama agensi kerajaan hari ini adalah salah satu langkah untuk membantu dia supaya dapat menyediakan atau mencari kediaman yang lebih selesa dalam kadar segera.

"Kami sudah berbincang, satu rumah sewa (berdekatan tempat tinggalnya sekarang) akan diberikan kepadanya, dan pihak MAIDAM akan menguruskan bayaran sewaan itu, manakala kelengkapan rumah akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.


Beliau berkata demikian ketika mewakili Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang yang juga Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meninjau keadaan Halim di Kampung Paya, di sini kelmarin.

Antara agensi yang turut hadir ialah MAIDAM Marang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) daripada Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang.

Hadir sama, Penghulu Mukim Pulau Kerengga, Ibrahim Adan, Penyelia Pusat Khidmat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Ramli Deraman.

Dalam perkembangan yang sama, Wahad menjelaskan bahawa Pejabat ADUN akan terus mencari ikhtiar lain sekiranya ada bantuan untuk membina rumah baharu.

"Sementara itu, kita juga sedang membuat prosedur bertulis dengan sepupunya yang memberi keizinan untuk membina rumah baharu Halim dalam kawasan rumah dan tanah miliknya," ujarnya lagi.


Halim yang tinggal bersendirian di tempat tersebut baru sahaja menetap di Marang sejak 3 bulan lalu selepas berkelana mencari rezeki di negeri Pahang selama lebih 40 tahun.


Tag: