• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Nur Ain Kekalkan Penguasaan Emas Terengganu

KUCHING, 16 Ogos- Skuad boling padang Terengganu mengekalkan penguasaan pingat emas bagi kategori individu wanita menerusi Nur Ain Kemilia Sukri, 21.

Pada perlawanan di Sarawak Lawn Bowls Arena, Nur Ain menewaskan seteru dari Selangor, Nur Najla Damia Mustakim dengan skor 20-11.

Anak kelahiran Kampung Kuala Ibai itu menyifatkan, kejayaan kali ini sangat bermakna baginya.

"Ini kali kedua (penglibatan) untuk SUKMA jadi, bagi saya ia masa terakhir untuk saya, sebelum SUKMA lalu emak saya tiada (meninggal dunia) disebabkn kanser ovari peringkat keempat.

"Sebelum SUKMA ini pula, saya juga kehilangan seorang ahli keluarga (pak cik), jadi saya nekad untuk mendapatkan pingat emas buat Terengganu kerana ia perkhidmatan terakhir saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perlawanan akhir, di sini hari ini.

Mengakui sukan boling padang agak baru buat dirinya, Nur Ain tidak menolak kemungkinan untuk tampil dalam skuad kebangsaan jika dipanggil.

"Saya bermula tahun 2016 walaupun tidak tahu ia sukan apa. Cuma ada kawan yang sertai, jadi saya berminat.

"Insya-Allah, kalau ada rezeki dipanggil, saya terima dengan hati terbuka dan saya akan cuba bagi komitmen sepenuhnya untuk masuk dalam skuad Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Terengganu turut meraih pingat perak dalam acara bertiga lelaki yang tewas dalam perlawanan akhir kepada Wilayah Persekutuan, 9-15.

Majlis penyampaian pingat di Sarawak Lawn Bowls Arena tadi disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang baru tiba di Kuching.


Tag: