Exco Tunggu NGO, Aktivis Haiwan Kemuka Solusi Isu Anjing Liar
Yahaya seru rakyat jadikan pembacaan dan penghayatan al-Quran amalan. |
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali berkata, kerajaan negeri berusaha ke arah itu dengan mengadakan pelbagai program pengisian serta penghayatan al-Quran.
"Dalam Bajet 2019 juga, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk melaksanakan Skim Mus'ab Umair dalam usaha merealisasikan negeri Terengganu sebagai negeri 'ahlul' Quran.
"Kerajaan negeri juga menyediakan RM3 juta bagi mewujudkan Pusat Al-Quran Braille sebagai inisiatif membantu golongan cacat penglihatan membaca al-Quran," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Majlis Memperingati Nuzul Al-Quran & Badar Kubra Peringkat Negeri Terengganu di Masjid Bandar Permaisuri, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri merangkap pengerusi jawatankuasa induk program, Mohd Nor Hamzah, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' A. Rahman Yahya dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Solat Dhuha berjemaah turut diadakan. |
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Mat Azmi Arshad dan Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang yang menyampaikan ceramah dalam program tersebut.
Yahaya turut memaklumkan, program berkenaan merupakan usaha serius kerajaan negeri ke arah memartabatkan syiar Islam.
"Penganjuran ini meningkatkan kesedaran kepada umat Islam untuk mengambil pengajaran melalui peristiwa penurunan al-Quran.
"Umat Islam juga perlu mengambil semangat Badar Kubra sebagai pemangkin untuk mempertahankan agama daripada ancaman musuh selain untuk membangunkan negeri ini," katanya.