Nyummy..Apam Balik Tangkap Leleh, Ada 60 Perisa


KUALA NERUS, 27 Februari- Bukan satu, dua atau tiga perisa apam balik tetapi terdapat 60 pilihan untuk pelanggan nikmati apabila berkunjung ke warung McNor My Best Recipe Apam Balik yang terletak di tepi pagar Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Kuala Nerus.

Pengusaha kuih itu, Norizan Awang @Said, 43, tidak menyangka idea untuk memperkenalkan apam balik dengan tambahan pelbagai perisa yang mempunyai tekstur luar biasa itu mendapat sambutan hangat di kalangan peminat makanan segera yang menginginkan kelainan rasa dan pelbagai selera.

Ibu kepada enam orang anak ini berkata, idea menjual apam balik versi baharu timbul apabila melihatkan trend masyarakat yang gemarkan kelainan dalam menghasilkan resepi makanan untuk menarik perhatian pelanggan.

Kelebihan menghasilkan menu unik itu membolehkan Norizan menjual 500 apam balik sehari dengan harga antara RM1 hingga RM5 sebiji dengan bantuan tiga pekerja.


Kini kuih yang lazimnya menjadi makanan kudapan itu menjadi sumber rezeki utama selepas nekad berhenti kerja sebagai Pegawai Teknologi Maklumat ( EIO ) di sebuah pusat teknologi maklumat pada 2014 kerana ingin memberi tumpuan kepada keluarga termasuk menjaga bapa mertuanya yang sakit ketika itu.

Apam balik jagung dengan keju leleh antara menu yang laris dan menjadi pilihan pelanggan terutama pelajar sekolah. Perisa lain termasuk keju dan butterscotch, strawberi, bijian coklat, sosej, nutella, pisang dan banyak lagi yang cukup menyelerakan apabila terhidu aromanya ketika proses memasak.

Dengan menggunakan keju mozzarella, apam balik ini diakui oleh pelanggan tetapnya antara yang terbaik dan menyelerakan, apatah lagi jagung yang menjadi ramuan utama kuih itu dihasilkannya sendiri.

“Saya beranikan diri memperkenalkan apam balik versi baru iaitu dengan menyediakan apam balik cheese bersama pelbagai jenis lapisan atas permintaan pelangan. Apam balik yang saya jual bukan sahaja dijual untuk sajian minum petang malahan saya juga bersedia menerima tempahan untuk majlis-majlis keraian tertentu.

"Saya dan anak-anak buah bersedia menerima tempahan seperti kenduri perkahwinan mahupun majlis hari jadi dengan tempahan mencecah 1,000 keping dalam sehari malah pernah menerima tempahan 2,800 keping untuk majlis hari raya pada tahun lepas ,"katanya ketika ditemui media Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) di warung jualannya.


Beliau yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada suaminya  Mohd Zarufini Mohd Sabri, 46, seorang guru sekolah rendah, berkata kelebihan apam baliknya ialah resepinya yang tersendiri, selain lembut dan tidak tebal.

Malah, teksturnya juga lebih enak berbanding biasa dan masih menyelerakan jika dimakan ketika sejuk.

Katanya, selain apam balik, mereka turut membuat aiskrim yang menggunakan enam resepi yang diolah mengikut citarasa tersendiri iaitu Strawberi, coklat, vanilla, mango, kelapa muda dan terbaharu perisa arang.

Dia yang memulakan perniagaan bermodalkan RM1,000 hasil simpanan sendiri, kini mampu mengukir senyuman apabila usahanya berbaloi dengan meraih pendapatan yang mampu mencecah RM1,000 sehari.

"Alhamdulillah sambutan memberangsangkan. Daripada satu, kini sudah berkembang kepada dua cawangan dan insyaAllah saya akan buka lagi cawangan selepas ini," jelasnya.

Apam Balik Mc Nor beroperasi dari Ahad hingga Khamis (Jumaat dan Sabtu tutup) bermula jam 12.30 tengahari hingga 6.30 petang di tepi pagar  Sekolah Kebangsaan Tok Jiring dan berhampiran warung Syakila, Gong Badak.

Bagi yang ingin mencuba, boleh menaip `Apam Balik McNor’ di aplikasi peta Google dan Waze menerusi telefon anda. Selain itu, boleh melayari laman Facebook dan Instagram: Catering Apam Balik McNor atau hubungi 0103364029 (Abg Mie) atau  0103364039 (Kak Nor) jika ingin membuat tempahan dan jika ada sebarang pertanyaan.

Tag: