• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Ocean Barber Tawar Kelas Gunting Rambut



Oleh :Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 2 Januari- Pemilik Ocean Barber, Ahmad Shahir Razali menawarkan kelas latihan menggunting rambut di kedai miliknya untuk golongan muda yang berminat.

Katanya, inisiatif itu bagi membantu anak muda agar mampu membina kerjaya dalam bidang ‘barbershop’.

"Saya mempelawa orang muda dan lepasan sekolah agar turut menyertai kelas belajar menggunting rambut kerana sekarang bukan masanya untuk memilih kerja.

“Ocean Barber bukan sahaja menawarkan kelas mengunting rambut tetapi selok belok mengurus perniagaan 'barbershop'.

“Bila kita ada kemahiran, ianya boleh kita guna sehingga umur kita tua dan kita tidak perlu bergantung kepada orang lain," ujarnya yang memulakan perniagaan menggunting rambut sejak tahun 2014 lagi.


Anak muda bermotivasi tinggi itu ditemui pemberita ketika Program Bojeng Percuma di Pusat Aktiviti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Rakyat Jaya di sini, baru-baru ini.

Seramai 50 orang pelajar  yang tinggal di sekitar taman tersebut menyertai program anjuran MPKK Taman Rakyat Jaya dengan kerjasama Ocean Barber itu.

Ahmad Shahir berkata, bermula dengan dua orang pekerja termasuk dirinya sendiri, kini dia mempunyai tujuh orang pekerja yang membantunya di kedai.

Katanya, setiap perniagaan mempunyai setiap cabarannya yang tersendiri termasuk persaingan dengan individu yang turut menjalankan perniagaan sama.

"Pesaingan contohnya adalah suatu cara untuk menambahbaik perniagaan yang kita ceburi.

“Kita anggap rezeki masing-masing dan kena sentiasa jaga 'service' kita dan sentiasa membaiki perkhidmatan yang diberikan,” ujarnya.

Tag: